rap

Almy Nadia jadi mangsa 'scam' penjual barangan bayi di Instagram

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Ini kali pertama saya kena. Tak tahulah kenapa saya tiba-tiba tergerak hati nak 'shopping' di Instagram," kata pelakon Datin Almy Nadia mengulas kerugian dialaminya akibat ditipu oleh seorang penjual produk barangan bayi.

   Kejadian terbabit didedahkan oleh suaminya, Datuk Fizz Fairuz menerusi hantaran di Instagram yang meminta masyarakat berhati-hati dengan 'scammer' terbabit.

   Almy yang dihubungi berkata, sebelum ini dia hanya aktif membeli barangan di aplikasi Shopee dan tidak pernah melalui Instagram.

   "Okeylah saya nak juga cuba. Sekali makan diri. Tak sangka saya akhirnya kena tipu. Nak buat macamana tak ada rezeki. Saya kena reda," katanya kepada Harian Metro. 

   Menurutnya, dia membayar RM570 untuk membeli 'stroller' (kereta sorong) dan 'baby cot' (katil bayi) yang ditawarkan dengan harga murah untuk anak keempatnya yang bakal lahir nanti. 

   "Saya nak barang ini dihantar guna Lalamove, tapi tiba-tiba dia kata barang dah dibungkus dan kena bayar lagi RM1200. 

   "Katanya ia wajib dan mesti bayar. Saya macam pelik kerana tiada pula surat yang ditandatangan nak kena bayar atau dalam Instagram itu kata kena tambah jumlah bayaran lagi. 

  "Saya bertegas tak nak bayar namun, dia kata kena usaha bayar juga jumlah ini. Saya kata tiada wang sebanyak itu dan minta pulangkan semula wang tapi dia dah tak baca mesej," katanya lagi.

   Almy bagaimanapun tidak berputus asa apabila cuba menghubungi individu terbabit namun, langsung tidak dilayan dan terus menghilang.

   "Dari loghatnya saya percaya dia orang Indonesia. Ramai yang mesej saya di Instagram beritahu cerita sama. Siapa yang mesej dia di Instagram (individu itu) hari ini semua disekatnya.

   "Saya sebenarnya tak pasti harga penuh barangan ini. Katanya lebih RM1000 dan dia bagi diskaun untuk dua barang. 

   "Apabila buat promosi begini memang nampak murah. Rupanya dia 'scammer'," katanya yang akan membuat laporan polis pada malam ini.

Disiarkan pada: October 31, 2021 @ 7:19pm
d