rap

Shahrulezad positif Covid-19, penggambaran drama Khilaf Asmara dihentikan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pengarah dan penerbit terkenal, Shahrulezad Mohameddin mengambil keputusan untuk menghentikan penggambaran drama Khilaf Asmara selepas dia dan dua pekerja di syarikat produksinya, Radius One disahkan positif Covid-19.

Shahrulezad ketika dihubungi berkata, keputusan itu dibuat untuk mengelakkan sebarang penularan di set penggambaran itu dan membabitkan pelakon serta kru.

"Saya ingin memaklumkan bahawa penggambaran Khilaf Asmara dihentikan buat sementara waktu sehingga diberitahu. Buat masa sekarang, pelakon dan kru produksi masih lagi negatif, tapi langkah ini diambil untuk mengelakkan sebarang penularan," katanya kepada Harian Metro.

Shahrulezad berkata, dia membuat ujian calitan hari ini dan disahkan positif selepas mula rasa tidak sedap badan sejak semalam.

"Cuma nak dijadikan cerita, saya yang negatif pada awalnya tiba-tiba rasa tak sedap badan sejak semalam lagi.

"Selepas saya telan Panadol Actifast pun demam masih berlarutan. Dan hari ini, sebelum masuk pejabat dan turun ke lokasi, saya buat sekali lagi ujian calitan dan alhamdullilah saya rupa-rupanya positif," katanya.

Shahrulezad menegaskan agar masyarakat terus membuat ujian calitan sekiranya merasakan ada yang tidak kena kepada kesihatan.

"Apa yang saya belajar di sini, kalau anda dah mula tak sedap badan, terus buat ujian RPK atau PCR. Jangan percaya sangat dengan ujian antigen dan air liur itu. Gara-gara percayakan ujian air liur itulah, tak pasal pasal saya dan pekerja pertama yang disahkan positif itu jadi pembawa virus Covid-19 tanpa kita sedar," katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2021 @ 2:56pm
d