rap

Mana ada cinta lokasi

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Tidak wujud cinta lokasi di lokasi penggambaran drama bersiri popular, Kekasih Hati Mr Bodyguard membabitkan dua teraju utamanya, Sharifah Rose dengan Redza Rosli.

Rose, 23, berkata, perkara itu tidak timbul sebaliknya dia terhutang budi dengan Redza yang banyak membantunya sepanjang dia berlakon dalam drama itu.

Menurut Rose, bukan mudah untuk mencipta keserasian dengan rakan gandingannya itu, namun keakraban mula terjalin sepanjang 116 hari tempoh penggambaran.

"Bukan bercinta, sebaliknya saya banyak berterima kasih kepada Redza yang mengajar saya untuk memperbaiki mutu lakonan. Saya terhutang budi kerana Redza dan seluruh kru produksi banyak membantu.

"Kami seperti satu keluarga dan saling membantu di antara satu sama lain. Mungkin ramai yang sedia maklum, Redza seorang pelakon lelaki yang sangat 'method' dan mempunyai prinsip tersendiri. Dia tak suka 'makan' rakan gandingan, jadi dia banyak menegur untuk membantu saya memperbaiki diri. Saya langsung tidak terfikir wujudnya cinta lokasi, tetapi lebih kepada keserasian kerana bekerja bersama.

"Kami beruntung kerana masih berada di set penggambaran ketika drama berkenaan ditayangkan. Jadi, saya mempunyai ruang untuk membetulkan mana yang silap," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok video siaran langsung yang dibuat Rose dan Redza pada hari terakhir penggambaran.

Dalam nada sebak, Rose berharap dapat bekerjasama dengan pelakon itu lagi pada masa depan.

Redza juga turut berharap supaya persahabatan itu berterusan walaupun drama lakonan mereka tamat tayangannya.

Redza membawa watak Hadif Akashah, manakala Rose sebagai Hana Aralyn yang menjalin hubungan cinta selepas bertemu untuk menyelesaikan suatu misteri.

Disiarkan pada: November 3, 2021 @ 1:24pm
d