rap

Lawanya tunang, bakal isteri pilihan Usop

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Selepas lebih dua tahun bercinta, penyanyi Usop, 24, selamat bertunang dengan gadis pilihannya dikenali Nur Fatihah Md Hashim atau Teha, 25, hari ini dan merancang untuk bernikah pada Februari tahun depan.

Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor berkata dia enggan bertunang lama-lama dan berharap urusan ijab kabul mereka dipermudahkan kelak.

"Kami rancang berkahwin secepatnya iaitu Februari tahun depan. Tarikh sebenar saya akan kongsikan kelak. Yang pasti, saya tidak mahu tunang lama-lama.

"Hal yang baik-baik begini eloknya perlu dipercepatkan. Doakan saja agar saya dan tunang sama-sama kuat hadapi apa saja dugaan sebelum bernikah.

"Alhamdulillah, keluarga kedua pihak pun sangat gembira dan lega akhirnya kami mengikat pertunangan. Setakat ini, kami merancang akan adakan majlis pernikahan tertutup saja nanti," katanya lagi.

Menurut penyanyi lagu Selamanya itu, wanita kelahiran Pulau Pinang berkenaan adalah wanita idamannya selama ini. Dia tidak sangka doanya dimakbulkan Allah untuk bertemu Teha.

"Saya kenal dia daripada kawan. Kemudian saya hubunginya menerusi Instagram dan awalnya dia 'jual mahal' juga tapi itulah orang kata, jodoh tak salah alamat.

"Saya sendiri pun memang mencari wanita yang berhidung mancung, berkulit cerah dan lebih tinggi daripada saya. Tak sangka impian saya jadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, Nur Fatihah pula mengakui banyak kelebihan yang dilihatnya ada dalam diri Usop hingga berjaya membuatkan dia jatuh cinta. 

"Saya suka sikapnya yang cukup lurus dan ikhlas. Dia juga memang tidak mengalah untuk berusaha memikat saya dulu meskipun dia agak muda.

"Usop juga seorang yang sangat hormat kepada orang tua. Bahkan, dia cukup berani untuk terus berjumpa dengan ibu bapa saya dan menunjukkan kesungguhan menjalin hubungan serius," katanya.

Teha berkhidmat sebagai kakitangan pentadbiran dan perniagaan di sebuah syarikat ternama di Pulau Pinang.

 

 

 

Disiarkan pada: November 4, 2021 @ 4:54pm
d