rap

Selamat jalani pembedahan

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo!

Dugaan buat penyanyi Heeseung, baru-baru ini dia terpaksa hentikan seketika aktiviti seninya selepas menjalani satu pembedahan. Ini kerana anggota kumpulan ENHYPEN itu memiliki 'epidermoid cyst' pada satu jari kakinya.

Justeru, dia perlu melakukan pembedahan itu untuk membuang ketumbuhan terbabit namun segalanya berjalan lancar. Buat masa sekarang, dia dinasihatkan doktor untuk berehat secukupnya sehingga sembuh semula.

Menerusi kenyataan agensinya BELIFT LAB, ketumbuhan itu dikenal pasti awal minggu ini selepas Heeseung mengalami sakit pada jari kaki kanannya. Selepas membuat pemeriksaan di hospital, dia disahkan mempunyai 'epidermoid csyt'.

"Heeseung menjalani pembedahan itu pada 1 November lalu selepas mengikut nasihat doktor yang merawatnya sebaik tamat aktiviti promosi album pertama mereka. Dia kini sedang berehat dan dijangka perlu seminggu untuk sembuh sepenuhnya," kata agensinya.

Namun begitu, agensi terbabit juga memaklumkan Heeseung barangkali akan berehat lebih daripada seminggu sekiranya keadaan belum pulih sepenuhnya. Oleh itu, mereka memberi keutamaan untuknya berehat panjang.

Memandangkan dia juga sepatutnya terbabit untuk acara bertemu peminat 2021 ENHYPEN [EN-CONNECT: COMPANION] pada 19 November ini, agensi berusaha memantau tahap kesihatannya sepanjang masa.

"Proses sembuh itu mungkin akan mengambil masa lebih panjang daripada dijangka. Kami memohon semua pihak memahami sekiranya Heeseung terpaksa hadkan pembabitannya dalam persembahan pada acara itu kelak.

"Kami akan terus memantau kesembuhannya dan menentukan tahap penyertaan yang mampu dilakukannya nanti. Berpandukan nasihat dan pertimbangan doktor serta keadaan semasanya, kami mahu pastikan dia tidak berasa tegang," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, BELIFT LAB juga berjanji akan sentiasa memastikan bahawa keselamatan dan kesihatan setiap artis mereka jadi keutamaan penting. Begitu juga untuk kes Heeseung, mereka berharap dia akan dapat menyambung semula aktiviti seni.

"Kami akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan Heeseung dapat menyertai semua peminatnya kelak. Kami juga berharap dia kembali sihat dan baik seperti sedia kala," katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2021 @ 6:30am
d