rap

Kagum keperibadian Fazura

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Rakan perniagaan pelakon popular, Nur Fazura iaitu Hafiz Nassir mendedahkan rahsia kejayaan di sebalik sambutan luar biasa koleksi tudungnya yang habis dijual sebanyak 200,000 helai dalam tempoh 45 minit di platform beli-belah dalam talian, semalam.

Hafiz ketika dihubungi berkata, walaupun perkenalan mereka singkat tetapi dia kagum dengan keperibadian pelakon terbabit yang turut membuka matanya. 

"Apa yang saya nampak dia seorang yang menjaga solatnya. Walaupun sibuk dengan penggambaran yang kadang-kadang memakan masa hampir 10 jam, tapi solat menjadi keutamaannya selain memastikan auratnya sentiasa terjaga. 

"Selain itu, satu perkara yang saya cemburu adalah dia tidak suka berkongsi kebaikan yang dilakukan seperti amalan sedekah atau bantuan yang dihulurkan kepada golongan memerlukan. Seboleh mungkin dia enggan orang ketahui niat baiknya itu. 

"Sebagai rakan perniagaan saya kagum dengan semangat luar biasa yang dimiliki. Dia sangat memberikan sepenuh komitmen dan teliti dalam setiap apa yang dilakukan,"katanya. 

Menurut Hafiz, dia juga tidak menafikan sokongan suami tercinta, Fattah Amin yang sentiasa berada di sampingnya turut membantu kepada kejayaan besar Nur Fazura. 

"Bagi saya, dia adalah wanita yang sukakan misteri. Dia tidak akan berkongsi sesuatu projek selagi belum dilancarkan bagi mengelak segala perkara negatif atau perasaan yang tidak baik. Dia lebih selesa bersaing dengan dirinya sendiri. 

"Saya juga perlu katakan yang Fattah juga antara individu yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepadanya. Fattah sering berada di sisi dan membantu menguruskan perniagaan," katanya. 

Pada waktu sama, Hafiz juga mengakui selain kehadiran Fazura yang hampir setiap hari masuk ke pejabat untuk memastikan segala proses perniagaan berjalan lancar, dia juga mempunyai pasukan yang hebat bagi memastikan perniagaan itu berjalan lancar dan sukses. 

Terdahulu, Fazura memuat naik video teruja di Instagram memaklumkan koleksi tudungnya habis dijual dalam masa 45 minit di platform beli-belah dalam talian.

Disiarkan pada: November 6, 2021 @ 3:08pm
d