rap

Tya Ariffin dah bantu lebih 25,000 rakyat Malaysia

Oleh Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Tya Arifin, 27, bersyukur dapat membantu lebih 25,000 rakyat Malaysia sejak bergelar usahawan empat tahun lalu.

Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin berkata, disebabkan itu jugalah dia terpaksa menolak tepi karier seni demi misi membantu lebih ramai untuk meraih pendapatan menerusi perniagaan diusahakan.

"Sejak saya usahakan produk sendiri iaitu Mutyara, kini lebih 25,000 berjaya saya bantu terutama golongan wanita untuk memiliki sumber pendapatan. Baik suri rumah, ibu tunggal, dibuang kerja, atau wanita berkerjaya lain yang perlu pendapatan sampingan.

"Disebabkan itu, saya memang kena ketepikan seketika kerjaya lakonan kerana mahu terus mengejar misi membantu lebih ramai orang. Sasaran saya pada tahun hadapan adalah dapat membantu lebih 100,000 rakyat Malaysia pula. Menjadi usahawan juga sebenarnya membuatkan saya kembali jumpa tujuan hidup. Kalau dulu, saya berlakon demi mencari wang untuk ibu bapa saya dan sejak berkahwin, saya tertanya apa lagi tujuan hidup perlu dikejar," katanya.

Tya yang ditemui pada acara meraikan stokisnya baru-baru ini mengakui dia juga tidak pernah terfikir untuk mencetuskan gimik dalam melariskan lagi perniagaan produk kecantikannya itu.

"Tujuan utama saya menjadi usahawan adalah untuk membina perniagaan jangka masa panjang. Misi utamanya adalah untuk membantu orang ramai mengecap impian bersama dan berjaya dalam perniagaan.

"Saya pun sebenarnya tidak ambil tahu sangat mengenai ada usahawan yang buat pendekatan gimik untuk dikenali. Perniagaan saya berkembang secara semula jadi dan tak terfikir langsung nak buat gimik lebih-lebih," katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada Asyraf Khalid itu juga berharap ada rezeki untuk mendapatkan anak ketiga selepas dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arif, empat, dan Azzahra, dua.

"Memang nak sangat tambah anak. Bagaimanapun, agak risau untuk berbuat demikian buat masa sekarang dalam situasi pandemik yang cukup berisiko ini.

"Selepas keadaan semakin pulih, barulah saya dan suami merancang untuk tambah ahli keluarga pula," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2021 @ 12:51pm
d