rap

Macam nak 'naik tangga' semula

Oleh Norhayati Nordin

PENULARAN Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu hingga kini memberi kesan besar pada ramai orang. Malah, perihal pendapatan ternyata memang terjejas.

Bagi penyanyi 'istimewa', Azmi Saat, 34, dia merindui persembahan konsert secara terbuka di hadapan penonton serta aktiviti promosi menyeluruh untuk single baharu.

Azmi berkata, hampir dua tahun ini, kerjaya seninya terutama nyanyian berhadapan kekangan kerana banyak aktiviti tidak dibenarkan untuk penganjuran.

"Sebenarnya, memang rindu sangat nak buat persembahan di hadapan penonton macam dulu-dulu. Tapi, pada masa sekarang kena ambil kira faktor keselamatan kesihatan.

"Kalau nak kata rindu buat persembahan secara langsung itu, saya tak nafikan sangat rindu. Ini kerana, sudah lama juga persembahan menyanyi dibuat secara virtual atau maya kerana Covid-19," katanya.

Apa pun, Azmi berkata, sekarang dia lega kerana jadual kerjanya boleh diatur semula dan tawaran persembahan untuk program TV juga sudah diperoleh kembali.

"Boleh dikata macam nak naik tangga semula. Sejak kerajaan memberi kelonggaran bekerja, saya dan Caliph Buskers sudah mula mendapat tawaran 'shooting' untuk program TV dan acara diadakan oleh syarikat korporat.

"Alhamdulillah sangat kerana kiranya dah boleh bernafas semula. Dapat jana pendapatan kembali dalam bidang nyanyian. Bagi saya, memang amat-amat bersyukur," katanya.

Azmi yang tampil dengan single solo berjudul Tulus dan single berkumpulan menerusi Panah sebelum ini berkata, dia tidak merancang untuk merancakkan urusan promosi lagu berkenaan.

"Bagi saya, pada lagu yang sudah dilancarkan itu biar saja dan kini fokus untuk promosi karya baharu pula. Bukan tidak menghargai lagu itu, tetapi saya yakin rezeki sentiasa ada.

"Malah, saya juga selesa berfikir positif kerana percaya setiap lagu dihasilkan ada tarikannya tersendiri. Lagipun, Caliph Buskers memang ada perancangan untuk kerjaya muzik kami," katanya.

Berbicara juga mengenai kisah peribadinya, Azmi dan isteri, Nazira Muhammad baharu kehilangan cahaya mata sulung mereka, Allahyarham Khairul Afnan yang meninggal dunia 30 September lalu.

Katanya, dia kini akur dengan ketentuan Allah dan reda. Meskipun penantian untuk bergelar ibu bapa itu sudah dinantikan selama 10 tahun, tapi dari awal kandungan sehingga isteri melahirkan anak, Allah banyak membantu.

"Tiga hari dapat menjaga bayi kami juga rezeki. Bagi saya, pasti Allah nak berikan rezeki lain buat kami akan datang. Insya-Allah, mana tahu kami akan ada rezeki cahaya mata lagi dan untuk itu, saya positif saja.

"Malah, isteri juga sudah beransur pulih dan semakin kuat. Allah uji kami kerana Allah sayang. Dalam soal ini, saya dan isteri saling memberi kata-kata semangat," katanya.

Sehubungan itu, Azmi juga merancang untuk menghasilkan satu single khas untuk mengenang arwah anaknya yang melodi dicipta oleh Ajai, manakala lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya.

Disiarkan pada: November 11, 2021 @ 6:45am
d