rap

Selepas bercerai, Haniff Era jalani dua sesi kaunseling

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyampai radio Era FM, Haniff Hamzah mengakui episod trauma dengan kegagalan rumah tangga tiga tahun lalu sudah berjaya dilenyapkan.

Haniff berkata, selepas menjalani dua kali sesi kaunseling bersama doktor pakar, dia bersyukur segala beban yang terbuku di hati akhirnya pulih.

"Semua orang yang melalui episod perceraian akan melalui fasa trauma. Macam mana dia layan trauma itu adalah hak dia. Sejujurnya saya dah habis layan trauma yang saya lalui.

"Saya ada berjumpa dengan doktor pakar dan mendapatkan rawatan sebanyak dua sesi di klinik berbeza. Saya bulatkan hati nak jalani rawatan itu pun sebab kawan saya yang syorkan kerana saya seorang yang kuat berahsia. Jadi dia nasihatkan untuk saya kongsikan segala masalah kepada individu tidak dikenali. "Saya tak sangka selepas menceritakan segala yang terbuku di hati akhirnya saya berasa lega dan boleh 'move on'. Saya juga nak cadangkan kepada pasangan yang ada masalah rumah tangga untuk mendapatkan rawatan kaunseling kerana ia sangat membantu," katanya.

Menurut Haniff, selepas tiga tahun bergelar duda dia masih belum terfikir untuk mencari peneman hidup, sebaliknya dia ingin mengukuhkan kewangan dirinya terlebih dulu.

"Saya tak nak lalui 'roller coaster' sehingga satu tahap saya sendiri sudah selesa dengan keadaan sekitar, barulah saya akan mencari pasangan hidup.

"Lagipun pada usia 60 tahun pun saya boleh bercinta lagi. Saya yakin yang bercinta ini bukan semata-mata untuk hubungan intim saja, tapi lebih kepada kasih sayang dan saling melengkapi.

"Saya juga akui hubungan yang lebih daripada persahabatan ini juga ada pasang surutnya. Jadi saya seboleh mungkin nak elakkan benda itu buat masa ini. Memanglah saya boleh bangkit dan bersama tapi saya tak perlukan pengganti lagi," katanya.

Hanif berkahwin dengan Wan Katherina pada 12 Jun 2010 dan bercerai tiga tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Tuah Kaliff, 8, dan Jebat Kaliff, 7.

Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 11:09am
d