rap

Caprice dah kahwin

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi rap kontroversi, Caprice dikhabarkan sudah melangsungkan perkahwinan dengan wanita bernama Farra Inalis, 26, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Farra berkongsi paparan sekitar majlis resepsi yang diadakan secara ringkas dan hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan kami," katanya.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, bersama Farra dilihat sama cantik sama padan mengenakan persalinan persis baju nikah.

Berdasarkan carian di media sosial, wanita yang dikahwini Caprice itu berstatus ibu tunggal anak satu.

"Anak perempuanku yang cantik (My beautiful daughter)," tulis Farra menjawab teka-teki warganet.

Menguatkan lagi berita perkahwinan penyanyi rap itu apabila hantaran gambar kahwin itu dimuat naik oleh bekas kekasih anggota DeFam, Azira Shafinaz Yasser dan turut dikongsikan semula olehnya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Caprice bagi mendapatkan pengesahannya tidak berjaya.

Dalam pada itu, Caprice menerusi Instagram turut memohon maaf kerana menyepi lebih 40 hari.

"Maaf, saya menghilangkan diri lebih daripada 40 hari, banyak yang saya lalui. Insya-Allah, dalam tempoh terdekat saya akan berkongsi apa yang sebenarnya berlaku.

"Saya tahu ramai wartawan semua mencari saya berhubung hal ini kerana fikir saya berkahwin senyap-senyap. Maaf kerana menyusahkan semua, saya akan kongsikan semua tidak lama lagi," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 10:45am
d