rap

Rosyam Nor tunggu 32 tahun kehadiran ahli keluarga lelaki

Kuala Lumpur: Penantian 32 tahun pelakon dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor untuk memiliki darah daging lelaki dalam keluarganya tercapai apabila memperoleh cucu lelaki semalam.

Ini berikutan anak keduanya, Nur Anis selamat melahirkan bayi lelaki yang juga cucu keempat Rosyam.

Rosyam, 54, atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin menerusi hantaran di Instagram berkata, sebelum ini dia dikurniakan lima anak perempuan dan tiga cucu perempuan.

"32 tahun, alhamdulillah. Lama sangat tunggu. Terima kasih Allah kerana kurniaan-Mu. Hasil perkahwinan saya dikurniakan lima anak perempuan. Alhamdullilah.

"Hasil perkahwinan anak sulung, Arniesha Azureen saya dikuniakan tiga cucu perempuan. Alhamdullilah. Proses panjang selama 32 tahun tunggu Sang Hero.

"Alhamdullilah semalam anak aku Nur Anis selamat melahirkan. Alhamdullilah cucu lelaki. Terima kasih doktor dan kakitangan di Hospital Andora," katanya.

Perkongsian Rosyam di Instagram mendapat lebih 22,000 tanda suka dan lebih 300 komen terdiri daripada rakan artis dan peminat.

"Finally (akhirnya) tahniah. Putera yang dinanti," komen Ahmad Fedtri Yahya.

"Akhirnya, alhamdulillah syukur. Cucu atuk lah. Tahniah abangku," kata Didie Alias.

"Ya Allah, alhamdulillah akhirnya ada gang. Tahniah Anis dan keluarga. Selamat datang 'baby boy'. Habislah pasti manja dengan atuknya," komen Datin Nina Juren.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 4:13pm
d