rap

Caprice tak berniat rahsiakan perkahwinan

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Ramai yang datang dan pergi dalam hidup ketika saya dilanda masalah tetapi Elis setia di sisi. Itu antara sebab saya memilihnya untuk menjadi suri hidup," kata penyanyi rap sensasi, Caprice mengenai keperibadian isterinya, Farra Inalis atau mesra disapa Elis.

Caprice yang melangsungkan pernikahan kelmarin berkata, dia juga tidak berniat merahsiakan urusan pernikahan mereka, sebaliknya bimbang hubungan mereka terganggu.

"Saya takut andai hubungan terganggu sekiranya menghebohkan kepada umum sebelum perkahwinan. Saya rasa ini waktu yang terbaik selepas terlalu banyak hal-hal yang tak diingini berlaku," katanya dalam program MeleTOP, malam tadi.

Menurut pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 32, itu, dia mengenali Elis sejak setahun lalu dan mengakui banyak ujian yang ditempuh sehingga hari perkahwinan.

"Sudah setahun saya mengenalinya dan dia sering memberi semangat kepada saya dalam setiap perkara.

"Niat merahsiakan hubungan kami adalah bagi mengelakkan terlalu banyak campur tangan orang luar. Saya bimbang perancangan terganggu sekiranya menayang hubungan kami terlalu awal.

"Kalau nak tahu, sejak hari kami ambil keputusan untuk bernikah sehingga hari perkahwinan, banyak ujian yang berlaku. Namun, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Elis mendedahkan salah satu sebab dia memilih Caprice sebagai peneman hidupnya kerana melihat sikap penyayang Caprice terhadap anaknya, Aleesya Sofea yang kini berusia lima tahun.

"Dia seorang yang penyayang dengan kanak-kanak dan sangat rapat dengan anak saya, memang tak nampak palsu langsung.

"Salah satu sebab saya setia bersama dia adalah sokongan daripada keluarga. Saya tahu dia ada ego dan barannya sendiri. Dari situ saya tenangkan dia serta terus beri semangat kepadanya," katanya.

Kelmarin, penyanyi lagu Baby Sayang itu mengejutkan ramai apabila sekeping foto pernikahannya tular dalam media sosial.

Tidak lama kemudian, Caprice mengakui sudah bernikah dengan Elis yang juga berasal dari Kelantan.

Elis adalah ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu.

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 3:05pm
d