rap

'Lebih elok jika minta izin' - Shahrol Shiro

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Shahrol Shiro, 37, menyarankan kepada golongan pelawak yang mahu meniru watak seseorang perlulah meminta izin tuan badan terlebih dulu.

Shahrol berkata, keizinan itu seelok-eloknya diminta dulu agar tidak menyinggung mana-mana pihak ketika ia dipersembahkan sebagai bahan lawak kepada penonton.

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi menerusi hantaran di Instagram berkata, membuat persembahan meniru watak seseorang itu tidak salah, asalkan lebih manis didahulukan dengan meminta izin.

"Dulu saya pun pernah meniru watak pelakon, Nasir Bilal Khan dan sebelum itu saya berhubung dengannya dan mohon keizinan terlebih dulu. Sebenarnya, watak seseorang yang ditiru itu tiada masalah tetapi dibimbangi netizen dan penonton jadi kurang senang," tulisnya.

Hantaran berbaur peringatan penting ini dibuat Shahrol di Instagram selepas berkongsi beberapa keping foto dia bersama anggota kumpulan Puteh iaitu Ali, Mamak dan Vicha bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Melaka untuk memohon maaf.

Sebelum ini, tular di media sosial video persembahan kumpulan Puteh di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021), malam Ahad lalu yang didakwa netizen mempersendakan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Justeru, kumpulan pelawak popular itu digesa memohon maaf secara terbuka.

Malah, Puteh yang menyedari kesilapan dilakukan mereka tidak berlengah tampil memohon maaf secara bersemuka dengan Najib.

Sementara itu, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan ketika ditemui media mengakui dia dan dua rakannya sudah membuat kesilapan apabila menjadikan Najib dan isteri, sebagai bahan jenaka mereka dalam persembahan di pentas MLM 2021 itu.

"Apa yang sudah berlaku dalam persembahan jenaka kami itu memang tidak disengajakan kerana niat sebenar hanya mahu menghiburkan semua peminat Puteh dan juga penonton.

"Malangnya saya akui ini adalah kekhilafan kami dan untuk itu perlulah berjumpa dengan beliau (Najib) untuk kami sendiri memohon maaf terus kepadanya secara terbuka," katanya.

Ali berkata, apa yang sudah berlaku memang kesilapan Puteh dan mereka bertiga sepakat mahu terus berjumpa Najib secara bersemuka untuk memohon maaf di atas kekhilafan dibuat.

Katanya, dia bersyukur sudah pun mendapat kemaafan daripada Najib dan selepas ini lebih berhati-hati dalam 'content' persembahan Puteh.

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 6:52pm
d