rap

Baby Shima lega lepas sesi kaunseling

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Rasa lega sikit. Selama ini saya cuma pendam seorang diri. Bila dah luahkan semuanya baru rasa lebih baik," kata penyanyi dangdut Baby Shima selepas mendapatkan rawatan kaunseling bersama kaunselor sukarelawan Rumah Prihatin, Muhamad Nabil Che Musa di Rumah Prihatin, Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Ia dibuat berikutan Shima berdepan tekanan perasaan (depresi) terhadap tindakan warganet yang sering mengecamnya.

"Semua masalah saya ceritakan pada Nabil. Jadi alhamdulillah amat lega berdepan situasi sekarang. Cuma saya kena ulangi lagi sesi ini untuk kali kedua pada masa yang sesuai," kata pemilik nama sebenar Nor Ashima Ram ini.

Shima berkata, dahulunya dia seorang yang sabar dan kuat berdepan kecaman begini, namun sekarang tidak lagi.

"Sampai ke tahap ini saya dah betul-betul lemah. Kadang-kadang rasa nak terima tapi sampai satu tahap rasa 'down'. Saya bukan tak boleh nak ditegur. Saya boleh terima dan tak kisah tapi anda nak tegur kena tahu adabnya bagaimana.

"Jangan sampai memaki hamun. Banyak yang menegur tapi cara mereka amat keterlaluan sehingga tahap menghina saya," katanya.

Menurutnya orang melihatnya tersenyum namun bukan bermakna dia bahagia dengan apa yang dilalui.

"Di rumah saya amat tertekan sampai kepala saya betul-betul rasa berat. Kadang-kadang rasa badan mengigil, lemah dan tak boleh tidur sehingga kesihatan terjejas. Berat badan turun mendadak. Nak buat kerja pun tak boleh fokus. Nak hafal skrip yang senang pun tak boleh. Ia sangat mengganggu," katanya.

Shima berkata, dari dulu sampai sekarang, orang tetap memaki hamunnya, malah makin menjadi-jadi sedangkan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Apa yang berlaku buatkan fikiran saya serabut sehingga jumpa doktor ambil ubat penenang. Ada juga kesannya. Namun saya tidaklah sampai nak bunuh diri kerana tahu dosa dan pahala," katanya.

Shima yang mencipta nama di Indonesia berkata, ada perbezaan komen antara peminat tempatan dan Indonesia dan ia boleh dilihat di media sosialnya.

"Boleh nampak kebanyakan mereka menegur dan pada masa sama mendoakan yang baik-baik terhadap saya. Sesetengah orang Malaysia pula bila tak suka pasti akan memaki hamun. Saya dapati peminat di sana lagi terima dan hargai saya.

"Walaupun saya orang luar, mereka nampak perkara ini. Saya akan pergi ke sana semula pada hujung bulan ini," katanya.

Menurutnya, dia sudah mendapat tawaran mengadakan persembahan di Indonesia dan akan menetap di sana semula.

"Sekiranya ada tawaran persembahan di Malaysia, barulah saya akan pulang," katanya yang kini tampil dengan single Lalai.

Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 5:31pm
d