rap

Jasmin Hamid nikah dengan PA, hanya minta sepersalinan alat solat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pelakon Jasmin Hamid selamat bernikah dengan lelaki pilihannya, Nazmir Abd Rahim, 35, juga pembantu peribadinya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pada petang, hari ini.

Pada majlis itu, Jasmin, 47, menerima mas kahwin RM80 dan sepersalinan alat solat iaitu telekung dan sejadah.

Jasmin berkata, perancangan untuk berkahwin itu dibuat sebulan lalu selepas Nazmir menyatakan hasrat untuk memperisterikannya.

"Apabila saya memuat naik gambar memang semua terkejut, kecuali keluarga. Pernikahan ini diputuskan sebulan lalu. Semua tahu saya memang jenis yang berahsia dalam soal peribadi apatah lagi membabitkan perkahwinan. Disebabkan itu, saya tidak mahu cakap apa-apa. Saya hanya tanya Allah, kalau memang dia dikirimkan oleh Allah untuk saya, saya terima.

"Kami tak pernah bercinta. Selama lapan tahun dia menjaga saya sebagai pembantu peribadi saya. Dia tahu segalanya, baik buruk saya. Begitu juga saya. Malah sebelum ini pun masing-masing pernah berkawan dengan orang lain. Jadi, memang tidak pernah menjangka sama sekali untuk ke fasa ini.

"Sebab itu saya selalu cakap, belajar nak menjadi orang beriman bukan senang. Jadi kita kena percya jodoh, rezeki, ajal, maut semua dripada Allah. Kiranya yang sebelum ini bercinta, bukan yang terbaik Allah nak berikan pada saya. Sebab bukan jodoh," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Jasmin berkata bukan mudah untuknya membuka hati pada orang lain selepas lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal.

"Saya sudah solo lebih 10 tahun. Bukan senang nak buka hati pada orang lain. Orang datang dan pergi dalam hidup saya. Bukan senang nak terima tanggungjawab ini. Saya sudah lama lepaskan tanggungkawab. Sekarang nak 'refresh' kembali. Cuma ringanya, dia tahu saya, saya tahu dia. Dia tulang belakang saya selama ini. Dia nampak susah senang saya.

"Dia pun sudah umur berapa. Kami cuma nak dapatkan reda dan pahala Allah. Nak elakkan fitnah. Takut jika amal ibadat tak sampai. Sebab itu perlu halalkan hubungan ini. Walaupun orang tahu dia PA saya.

"Kami beza 12 tahun. Kalau nak tahu, saya tak pernah 'taste' dengan orang muda. Saya bukan ikut 'trend' orang lain suka orang muda, saya nak suka juga.  Tapi apabila dia 'approach', saya fikir boleh tak dia sara saya. Saya fikir balik, selama lapan tahun ini dia yang jaga saya," katanya.

Jasmin pernah mendirikan rumahtangga bersama Ian Rashid Macquistan, namun mereka dikatakan berpisah pada Februari 2008.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak lelaki, Ian Haziq yang kini berusia 20 tahun.

Jasmin juga mempunyai dua anak angkat iaitu Rohana dan Lukhman Hakim.

 

Disiarkan pada: November 19, 2021 @ 8:50pm
d