rap

Lagu Hitam Saksi Putih simbolik cinta Haqiem Rusli [METROTV]

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, Haqiem Rusli melancarkan lagu istimewa berjudul Hitam Saksi Putih pada majlis resepsi perkahwinannya yang berlangsung, semalam.

Haqiem berkata, lagu itu diciptakan istimewa sebagai simbolik kisah cinta terhadap isteri, Anis Sofea.

"Dalam lagu Hitam Saksi Putih itu, saya gambarkan hitam itu sebagai diri saya dan putih itu adalah dia (Sofea). Kehadiran dia memberi impak besar dan positif dalam hidup saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Haqiem, Sofea juga menjadi antara orang yang sering memberi nasihat kepadanya untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

"Saya adalah orang yang susah untuk mendengar nasihat kecuali daripada keluarga dan orang-orang terdekat. Sofea adalah orang yang banyak menasihati saya," katanya.

Ditanya sama ada lagu Hitam Saksi Putih ini akan dikomersialkan, Haqiem tidak menolak sekiranya lagu itu menjadi karya yang boleh pergi lebih jauh.

"Walaupun ia dihasilkan istimewa bersempena hari bahagia kami, tapi saya tak menolak sekiranya ia dikomersialkan dan boleh pergi jauh," katanya.

Haqiem turut menyampaikan lagu Hitam Saksi Putih secara langsung saat berjalan masuk ke dalam dewan resepsi, menuju ke pelamin.

Video muzik rasmi lagu itu juga dilancarkan di YouTube FMC Music malam semalam, menampilkan Sofea sebagai pelakon video muzik.

Sejak dilancarkan, ia ditonton lebih 127,000 tontonan dan jumlahnya semakin meningkat dengan begitu pantas.

 

Disiarkan pada: November 20, 2021 @ 3:09pm
d