rap

Dira Abu Zahar dah ada fokus utama untuk kepentingan Rim

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Selebriti yang kini berstatus wakil rakyat, Datuk Dira Abu Zahar, 37, meluahkan rasa syukur serta tekad janjinya akan menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim yang baharu sebaik mungkin meskipun amat berat.

Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar menerusi hantaran di media sosial berkata dia tidak menduga Allah SWT memberi rezeki kepadanya untuk menabur bakti sebagai pemimpin bagi semua penduduk di kawasan Rim.

"Pertama sekali, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan kekuasaanNya telah mengangkat saya sebagai wakil rakyat Rim dan percayalah tanggungjawab di atas pundak ini begitu berat dan akan cuba saya galas sebaik mungkin.

Keduanya, saya ucapkan ribuan terima kasih atas doa dan sokongan yang mengiringi saya sepajang tempoh berkempen ini. Khususnya buat ahli keluarga saya, Mantan ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad, akar umbi dan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) dan juga rakyat keseluruhannya.

Ketiga, dalam tempoh seharian ini juga selain menyantuni masyarakat, saya terus ambil inisiatif mengutamakan fokus kepentingan di Rim bagi tindakan lanjut," tulisnya penuh iltizam.

Dira berkata untuk yang terakhir kali dia juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Melaka kerana sudah  memberikan kemenangan besar dan begitu bermakna kepada BN dan UMNO.

Katanya lagi, dengan kestabilan yang ada, insyaAllah Melaka akan terus menerima kemakmuran. Malah, dengan iltizam penuh semangat positif ini juga, transformasi politik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pasti akan terlaksana.

Pada perkongsian pertamanya di media sosial selepas menang semalam, Dira turut meletakkan tiga tanda pagar iaitu #RimDiHatiKu, #MuafakatRakyatDemiKemakmuran dan #KestabilanDemiKemakmuran.

Terdahulu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu, Dira yang juga calon BN di kerusi DUN Rim berjaya menewaskan dua lagi pencabar lain iaitu Azalina Abdul Rahman dari Perikatan Nasional (PN) dan Prasanth Kumar, wakil Pakatan Harapan (PH) yang turut bertanding di kawasan berkenaan.

Dira menang besar dengan majoriti 1,327 menewaskan dua calon lain itu selepas memperoleh sebanyak 4,037 undi sekali gus membuktikan dia adalah wakil rakyat yang diberikan kepercayaan oleh masyarakat Rim.

Menerusi kemenangannya itu, Dira kini berjaya mengikut jejak langkah bapanya dalam politik yang juga bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Ketika aktif dalam industri hiburan sebagai pengacara dan pelakon dulu, Dira pernah mengendalikan program televisyen seperti Fulus Mania, Jom Ronda Proton dan Melodi. Bahkan, dia juga banyak membintangi drama serta filem  seperti Tahajud Cinta, Dahlia, Chow Kit dan Longkai, selain duduk di kerusi pengarah.

Disiarkan pada: November 21, 2021 @ 11:51pm
d