rap

Ogy mohon maaf konsert Khai Bahar dibatalkan [METROTV]

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Ogy Ahmad Daud, 59, mengumumkan membatalkan Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang tertunda penganjurannya sejak tahun lalu, hari ini.

Ogy atau nama sebenarnya Fauziah  Ahmad Daud berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan dibuat bersama mereka yang lebih arif dalam penganjuran sesebuah konsert.

"Saya selaku pihak penganjur yang dipertanggungjawabkan untuk konsert Khai Bahar mengambil keputusan muktamad membatalkan konsert itu. Kepada semua pembeli-pembeli tiket konsert, saya bersama penguam sedang berusaha untuk mendapatkan 'refund' anda semula.

"Kerana pelaburan yang anda lakukan dalam pembelian tiket konsert itu, duit tiada bersama saya mahupun dalam syarikat saya dan dibeli menerusi AirAsia RedTix," katanya.

Ogy juga memohon ribuan ampun dan maaf kepada pasukan Khai Bahar yang bersusah payah selama ini untuk mengendalikan bersama-sana bagi merealisasikan konsert itu.

"Kita hanya mampu merancang, hanya Allah saja yang menentukan. Saya menyusun sepuluh jari memohon ribuan ampun dan maaf di atas kesulitan yang timbul dan suatu hari dengan izin Allah, saya harap akan dapat bekerjasama dengan Khai Bahar lagi.

"Terima kasih kepada peminat-peminat Khai Bahar yang menanti dan terus menanti dengan penuh kesabaran untuk menonton konsert berkenaan tapi, malangnya saya terpaksa membuat keputusan muktamad ini," katanya.

Ogy berkata, dia sentiasa menyanjung bakat penyanyi terbabit dan mahu melihat kejayaan berterusan sepanjang perjalanan seninya.

"Saya turut mendoakan agar Khai Bahar terus sukses dalam kerjaya seninya dan kepada semua peminatnya, teruskan memberi sokongan kerana dia memang seorang anak muda yang dianugerahkan bakat yang tulen," katanya.

Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia sepatutnya dilangsungkan pada 27 Mac tahun lalu di Istana Budaya. Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pada Ogos tahun lalu, Ogy kemudian mengumumkan konsert itu bakal dilangsungkan di lokasi baharu. 

 

 

 

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 1:17pm
d