rap

Tauke, isteri terus membisu

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Siapa pun aku. Apa pun aku buat. Tujuan dan kehidupanku, solatku, hanya kerana Dia".

Ini yang dimuat naik pelawak popular, Tauke Jambu, 44, di Instagram Story seakan-akan menjawab persoalan ramai berhubung dakwaan dia dikatakan berkahwin lagi satu.

Sejak gambar dia dikatakan melangsungkan pernikahan dengan wanita bernama Shu yang tular sejak semalam, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria dan isteri, Nadia Mohd Affendi terus membisu.

Cubaan Harian Metro menghubungi mereka sejak semalam juga tidak berjaya apabila masing-masing tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Sementara itu, ruangan komen di Instagram pelawak itu dipenuhi dengan komen netizen yang keliru dengan situasi itu memandangkan Tauke sudah memiliki isteri.

Malah, ada yang mempersoalkan bilangan perkahwinan Tauke.

Dalam masa sama, ada juga mempersoalkan sama ada ia sekadar 'drama' untuk melariskan produk atau 'content' media sosial.

"Kalau benar benda ini tidak betul atau sekadar penggambaran, jangan buat 'content' begini kerana boleh menimbulkan fitnah. Kalau betul cakap betul, salah cakap salah" komen seorang netizen.

"Selamat berpoligami Shu, yang pergi biarkan dia pergi sebab yang terbaik mesti datang lambat. Sesungguhnya Allah lebih tahu segala-Nya," kata seorang pengguna TikTok.

Dalam pada itu, turut kelihatan dalam gambar terbabit ialah lelaki berbaju Melayu hijau dipercayai penyanyi, pelakon dan pelawak, Acong Sweetchild.

Bagaimanapun, Acong ketika dihubungi mendakwa dia sudah lama tidak berjumpa Tauke.

Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat berkata, dia tidak tahu menahu mengenai majlis itu kerana sibuk dengan program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021.

"Alamak! Saya tidak tahu kerana sudah lama tidak berjumpa dia (Tauke). Saya kini sedang sibuk dengan program Maharaja Lawak Mega (MLM)".

Penyanyi kumpulan Sweetchild itu diajukan mengenai gosip pernikahan Tauke kerana kelibatnya berbaju Melayu hijau dilihat di dalam masjid bersama pelawak itu.

Menguatkan lagi telahan itu apabila gelang yang sering dipakai Acong turut berada di tangan lelaki berbaju hijau itu.

Terdahulu, beberapa gambar Tauke menggayakan baju Melayu putih lengkap bersamping bersama seorang wanita berbaju kurung dan bertudung putih seperti selesai bernikah tular di media sosial sejak semalam.

Pada 2019, Tauke menafikan dia menceraikan Nadia melalui rakaman suara yang dihantar dalam aplikasi WhatsApp seperti didakwa isterinya pada Januari tahun itu.

Difahamkan, keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga. Ia mula goyah apabila Tauke dikatakan curang dengan seorang wanita.

Bagaimanapun, Nadia ketika dihubungi wartawan ketika Tauke ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Ogos lalu mendakwa dia masih isteri kepada Tauke.

Tauke dan Nadia berkahwin pada 9 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Zamatul Khayla Aydina, 3.

Disiarkan pada: November 24, 2021 @ 5:27pm
d