rap

Nourul kagum dengan Exists

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Nourul Wahab Depp memuji bakat kumpulan Exists yang disifatkan bagus dan hebat dalam karier sebagai pemuzik.

Ia susulan kejayaan kumpulan terbabit beraksi dalam Konsert Exists Reunion yang berlangsung pada 28 September 2019 lalu di Stadium Malawati, Shah Alam yang menjadi bualan peminat.

Atas pemintaan ramai, penganjur iaitu Shiraz Projects mengeluarkan album Konsert Live Exists Reunion yang mula dipasarkan hari ini.

"Memang betul. Exists antara kumpulan yang sangat bagus selepas Search dan Wings. Mereka sekarang adalah pemuzik yang hebat. Dari dulu lagi pun rakaman studio lagu-lagu saya mereka yang banyak main muzik. Ujang, Along dan yang lain-lain semuanya bagus," katanya kepada Harian Metro.

Nourul berkata, dia seorang yang profesional dalam perkara ini dan bercadang membeli album terbabit menerusi anaknya Ayu Nazirah, hasil perkahwinan terdahulu bersama Ajai yang juga pemain keyboard Exists.

"Nanti saya suruh Ayu beli," katanya.

Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab dan suaminya, Eric Daniel Depp kini menetap di Bali, Indonesia bersama tiga anak mereka iaitu Zachary, 8; Raphael, 6; dan Isabella, 2.

Exists ditubuhkan pada 1991, dianggotai oleh Ajai (keyboard), Along (gitar), Shah (gitar), Musa (bass), Ujang (dram), Mamat (penyanyi) dan kemudian disertai Ezad yang menggantikan tempat Mamat.

Konsert mereka melakar sejarah tersendiri apabila dihadiri oleh 6,000 penonton.

Disiarkan pada: November 25, 2021 @ 6:37pm
d