rap

Suami Zee Avi lafaz akad nikah dalam bahasa Inggeris

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Zee Avi, 35, yang baharu bernikah dengan warga Jepun, Kenji Matano, 41, mengakui berdepan cabaran sebelum melangsungkan perkahwinan dengan mualaf.

Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman bersyukur proses itu dilancarkan selepas mendapat pertolongan daripada rakan terdekat bagi menyelesaikan urusan terbabit.

"Sebenarnya kami memulakan proses nikah sekitar Februari lalu. Proses itu banyak cabaran sebab tak banyak maklumat bagaimana mahu bernikah dengan orang luar dan seorang mualaf.

"Kenji dan bapa saya perlu pergi ke banyak jabatan. Mujur ada kawan yang membantu memudahkan semua proses. Disebabkan itu kami berjaya mengadakan majlis sederhana dengan keluarga terdekat di rumah keluarga saya di Ampang.

"Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar. Suami saya juga melafazkan akad dalam keadaan tenang di mana dia melafazkan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Penyanyi lagu Kantoi itu juga mendedahkan Kenji yang bekerja sebagai penganalisis kandungan teknologi maklumat sebenarnya tidak mengetahui dia seorang penyanyi sewaktu di awal perkenalan dulu.

"Dia tak tahu saya seorang penyanyi. Kami berjumpa majlis kawan kami sekitar 2018. Saya baharu balik sini selepas menjayakan jelajah mini di Eropah, persembahan di Bali, Indonesia serta Shanghai, China. "Ketika perjumpaan di majlis itu, kawan-kawan ada menyuruh saya menyanyi lagu Kantoi. Kemudian dia sedar semua orang tahu lirik lagu itu, kecuali dia.

"Bagaimanapun, saya gembira dia tidak tahu siapa saya sebelum ini, sebab itu bermakna dia dapat mengenali saya sebagai diri saya sendiri," katanya.

Zee juga sebenarnya tidak berhasrat merahsiakan pernikahannya dan merancang berkongsi berita baik itu bersama media selepas dia menjalankan sesi fotografi.

Bagaimanapun, gambarnya berbusana baju kurung moden putih lengkap berselendang dan mengenakan inai di jari tular dalam media sosial terlebih dulu.

"Kami mempunyai jurugambar dan juruvideo. Jadi kami mahu tunggu kami bergambar cantik-cantik dan edarkan pada media. Itulah sebab kami panggil jurugambar. Tapi ketika saya masih lagi di dalam baju pernikahan saya, saya ada melihat notifikasi berkenaan pernikahan saya. Mujur maklum balas yang diterima rata-rata positif.

"Disebabkan itu saya memutuskan untuk berkongsi dengan media, pada sidang media hari ini. Kerana bagi saya, apabila sudah sah, barulah saya mahu kongsikan," katanya.

Terdahulu, Zee dan Kenji disatukan pada 22 November lalu di Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang, di sini.

Acara itu berlangsung sederhana dengan kehadiran kurang daripada 15 orang tetamu.

Dia juga ada merancang untuk mengadakan sebuah majlis resepsi di kampung halamannya, Sarawak, yang mana dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakannya dari pelbagai negara.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 5:48pm
d