rap

Alyah tak cemburu

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi dan usahawan Datin Alyah mengakui ruang masanya bersama suami, Datuk Ramli MS menjadi agak terhad setiap kali tibanya program Gegar Vaganza (GV).

Alyah, 40, berkata, dia sudah terbiasa dengan situasi itu memandangkan program realiti berkenaan sudah pun berlangsung lapan musim.

"Jujurnya setiap kali tiba 'musim' GV, memang rutin seharian kami jadi agak berbeza. Jarang dapat makan luar bersama. Kata orang ia acara tahunan. Jadi jadual Tok Ram (Ramli) agak padat sebab bermula Selasa, dia akan sibuk untuk persiapan konsert minggu seterusnya.

"Saya sedia maklum dengan situasi itu. Malah anak saudara, Aqil yang sering bersama kami pun sudah faham. Apabila ada sahaja iklan GV di kaca TV, dia akan cakap 'uncle' sibuk, tak boleh bawa jalan-jalan. Untuk ubati rasa rindu, mereka akan buat panggilan video. Tapi saya percaya bukan Tok Ram saja yang sibuk, artis bertanding dan produksi pun turut sama memberi komitmen yang tinggi. Masing-masing cari rezeki," katanya.

Dalam masa sama, Alyah juga terharu apabila lagu Thank You Allah kekal menjadi pilihan pendengar daripada pelbagai peringkat usia.

"Rasa bersyukur sangat pada usia 40 tahun begini, dari kanak-kanak sehingga orang dewasa sukakan lagu kerohanian seperti itu. Ada yang kongsi di media sosial dan sebagainya.

"Terkejut juga saya sebab saya bukanlah penyanyi 'viral'. Tapi bagi saya itu rahmat paling besar daripada Allah SWT. Hakikat itu menjadi perkara terawal yang saya fikir apabila lagu itu cepat menangkap halwa telinga pendengar," katanya yang bakal melancarkan single baru awal tahun hadapan.

Terdahulu, Alyah ditemui pada majlis pelantikan sebagai duta dan memeterai perjanjian bersama jenama Kamya Glow di Kamya Glow di Bukit Jelutong, Selangor.

Menurut Alyah, pemilihannya itu sebagai satu langkah mengembangkan kolaborasi perniagaan diusahakan bersama Kamya Glow di dalam bidang kecantikan dan kesihatan.

Dalam masa sama, Alyah juga percaya semua orang sukakan kecantikan. Oleh itu, kandungan ekstrak dan organik yang baik dalam produk itu dapat membantu menyelesaikan masalah kulit kusam, jeragat, jerawat, parut hitam dan sebagainya.

Pada majlis sama turut Alyah turut melancarkan kempen Mencari Wajah Kamya yang mana 30 pengguna baik lelaki atau wanita akan dipilih untuk menggunakan produk itu selama sebulan secara percuma.

Sebanyak 10 pengguna bertuah akan memenangi hadiah berbentuk jongkong emas atau 'gold bar, baucar membeli-belah dan hadiah utama berupa percutian ke Pulau Langkawi.

"Saya bersama pihak Kamya Glow turut membuka peluang kepada mana-mana pengguna untuk mengambil peluang meningkatkan pendapatan menerusi program 'dropship' dan ejen yang sedia ada.

"Lebih menarik, terdapat promosi jualan akhir tahun pada bulan depan bersama pelbagai kejutan yang menanti pembeli," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2021 @ 6:42am
d