rap

Azzam Sham mohon doa urusan nikah dipermudahkan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Dengan ancaman varian baharu Covid-19, Omicron, penyanyi Azzam Sham, 24, berharap ia tidak akan membantutkan rancangan pernikahannya dengan tunang juga penyanyi Sheryl Shazwanie, 24, awal tahun depan.

Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham mengakui timbul juga kerisauan apabila terfikirkan kemungkinan itu apalagi persiapan menuju hari bahagia kini rancak dilakukan.

"Alhamdulillah, persiapan kini sudah mencecah 80 peratus. Namun, saya belum dapat berkongsi butiran tarikh majlis nikah itu demi menjaga sensitiviti kedua belah pihak keluarga, tapi yang pasti awal tahun depan.

"Jujur, memang risau juga apabila timbul pula dugaan baharu itu  (varian Omicron). Sebolehnya saya berharap mahu elakkan sebarang halangan yang akan jejaskan majlis kami nanti.

"Bagaimanapun, itulah kita hanya mampu merancang. Saya cuma minta doa semua agar segala urusan kami dipermudahkan," katanya sewaktu ditemui menerusi sidang media virtual pelancaran lagu baharunya berjudul Baby Bambam, baru-baru ini.

Terdahulu, Azzam dan Sheryl melangsungkan pertunangan mereka pada 30 September lalu. Majlis itu awalnya dirancang berlangsung pada Mei, namun ditunda kerana kekangan Covid-19.

Dalam pada itu, difahamkan pasangan ini juga dalam perancangan untuk melancarkan lagu duet terbaharu mereka. Namun begitu, Azzam berkata dia kini mahu fokus kepada promosi lagu solo, Baby Bambam itu dulu.

 

 

 

Disiarkan pada: December 1, 2021 @ 12:49pm
d