rap

Zul Ariffin sudi bantu pelakon baru

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Zul Ariffin sentiasa terbuka untuk memberi tunjuk ajar kepada pelakon-pelakon baru yang bergandingan dengannya dalam drama dan filem.

Zul berkata, tindakannya itu adalah untuk membantu mereka tampil sebagai pelakon yang berkebolehan di kaca TV mahupun pawagam.

"Saya sentiasa terbuka untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon tak kiralah sama ada pelakon baru atau lama.

"Saya tak kisah untuk 'babysit' pelakon-pelakon baru ini dan mengajar mereka asalkan mereka ada usaha dan ingin belajar," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zul, sebagai pelakon, dia tidak boleh bekerja secara solo.

"Lakonan memerlukan kerjasama dan interaksi antara pelakon. Saya tak boleh bergerak secara solo. Kalau saya saja yang 'memberi', lakonan itu takkan menjadi," katanya.

Isu mengenai pelakon baru yang tidak berbakat, namun ditawarkan berlakon berdasarkan populariti di media sosial kini kembali menjadi bualan sejak beberapa hari lalu dan mendapat reaksi yang pelbagai daripada pemain industri seni kreatif tanah air.

Disiarkan pada: December 2, 2021 @ 3:44pm
d