rap

Dukun diva ada kelainan

Oleh Najiy Jefri

MENGANGKAT kisah 'female con artist' dan 'anti-heroes', Astro Originals membawakan siri baharu berjudul Dukun Diva yang sarat dengan elemen drama, komedi, suspen, aksi dan penyiasatan.

Drama lapan episod ini menemui penonton mulai 6 Disember ini, setiap Isnin, jam 9 malam di Astro Citra (saluran 108).

Apa yang menarik mengenai drama Dukun Diva ini adalah dengan menampilkan watak utama diterajui wanita yang berdepan cabaran kehidupan, lebih-lebih lagi di bandar pada masa kini.

Pelakon berbakat besar, Nadia Aqilah yang tidak disangkal lagi kekuatannya dalam lakonan, membawa watak Che Yah iaitu seorang artis 'tak menjadi' di era 1990-an, akhirnya menggunakan bakat dengan menyamar sebagai dukun.

Sementara itu, watak Lola pula digerakkan dengan baik oleh pelakon muda, Eyka Farhana iaitu anak saudara Che Yah yang bermasalah dan turut bersubahat menjadi dukun.

Kedua-dua watak ini mencipta pelbagai kepercayaan dan pantang larang atas rujukan media sosial buat jutawan kosmetik terkenal, Datuk DD lakonan Emelda Rosemila.

Selain itu, Dukun Diva turut menggabungkan barisan pelakon senior dan baharu bagi mewarnai setiap karakter seperti Tony Eusoff yang dilihat pertama kali membawa watak suami takut isteri serta 'scammer' dalam urusan jual beli tanah, diikuti pelakon baharu berbakat besar iaitu Siti Khadijah Halim sebagai Baby Riena, Kahoe Hon melakonkan watak Daniel serta pelakon handalan, Adlin Aman Ramlie sebagai Datuk Saddiq serta Aloy Paradoks (karakter Sarjan Anep).

Drama siri premium ini juga dihiasi dengan penampilan istimewa pelakon terkenal daripada pelbagai latar antaranya Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, siri Dukun Diva memperlihatkan transformasi kandungan berkualiti filem berterusan di bawah jenama Astro Originals.

"Astro akan memperhebatkan lagi fokus ke arah kandungan berkualiti dengan menerokai pelbagai lagi kandungan segar yang menawarkan kelainan dan menarik untuk dipersembahkan kepada penonton di Malaysia.

"Sudah menjadi hasrat kami supaya Astro Orginals akan terus memainkan peranan yang lebih besar untuk menjangkaui nilai hiburan dan dilihat sebagai jenama yang dapat mempersembahkan kandungan setanding drama premium dari luar negara.

"Dalam mengutamakan penonton di Malaysia meliputi semua lapisan masyarakat, kali ini Dukun Diva lebih memfokuskan konteks 'Malaysian' menerusi aspek seperti skrip, jalan cerita, idea, pelakon, sinematografi dan sebagainya supaya siri ini dapat memenuhi selera semua penonton tidak mengira latar.

"Kami yakin jika karya tempatan berjaya diterima segenap masyarakat, ia juga mampu mempelopori pasaran luar. Ini kerana, kita sering dihidangkan dengan budaya luar menerusi drama mereka dan sudah tiba masanya untuk drama kita pula mempamerkan budaya dan keistimewaan Malaysia serta mengikuti peredaran semasa dalam bentuk santai buat penonton dalam dan luar negara," katanya.

Tambah Raja Jastina, Dukun Diva turut menyaksikan Astro Originals mempertaruhkan bakat kreatif tanah air seperti Alfie Palermo, Pengarah Ariff Zulkarnain serta pelakon hebat, Nadiah Aqilah, Eyka Farhana, Emelda Rosemila, Adlin Aman Ramlie dan bakat baharu, Siti Khadijah Halim serta Kahoe Hon.

"Uniknya, Dukun Diva meletakkan subjek 'anti-heroes' wanita yang mana ia jarang dipersembahkan dalam drama siri tempatan. Banyak mesej positif yang cuba disampaikan untuk tatapan penonton," katanya.

Dalam pada itu, penerbit, penulis skrip, cerita asal Dukun Diva, Alfie Palermo berkata, dia teruja apabila karya Dukun Diva bersedia untuk menemui penonton mulai bulan ini.

"Masyarakat kita umumnya amat sinonim dengan perkataan 'dukun'. Ada segelintir pihak yang menyalahgunakan ilmu dukun. Menyedari hakikat itu, ia memberi inspirasi buat saya menghasilkan Dukun Diva iaitu membawa dua wanita yang mempunyai impian dan cita-cita menjadi dukun palsu untuk menipu jutawan kosmetik bersama keluarganya demi wang.

"Mungkin di luar negara banyak mengetengahkan subjek watak wanita sebagai 'con artist', tetapi ia tidak pernah lagi dihasilkan di Malaysia. Jadi, Dukun Diva membawa subjek itu serta mengetengahkan wanita.

"Kami yakin dengan menggabungkan 'moden setting' dan elemen lokal, ia mampu memberikan pengalaman baharu kepada penonton dan memartabatkan warisan tempatan seperti baju tradisional kebaya melalui drama kita.

"Terima kasih kepada Astro kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mempersembahkan idea ini kepada penonton," katanya.

Alfie berkata, Dukun Diva cukup istimewa di hatinya kerana jalan cerita yang penuh mesej dan pengajaran.

"Che Yah sanggup mengetepikan impiannya untuk menjadi pelakon terkenal demi insan tersayang. Saya harap Dukun Diva mampu mengingatkan penonton bahawa kegembiraan tidak semestinya boleh dikecapi menerusi impian semata-mata, tetapi kehadiran insan yang kita sayang, terutama keluarga adalah pelengkap kebahagiaan sebenar.

"Sementara itu, watak Lola pula sebagai individu suka memberontak dan dilabel 'pelik'. Memahami perasaan orang yang dianggap 'berbeza' ini, saya ingin sampaikan kepada mereka di luar sana bahawa mereka tidak keseorangan. Saya harap penonton terhibur dengan siri ini, seperti mana kami teruja meng

hasilkannya," katanya.

Dukun Diva mengisahkan mengenai Rubiah Samsudin atau dengan gelaran popularnya Che Yah gagal menjadi pelakon terkenal dan kini bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam.

Hakikat itu menyebabkan Che Yah sangat malu untuk pulang menemui keluarganya di kampung. Satu hari, Che Yah menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kakaknya, Aishah sudah nazak. Di sini bermulanya perubahan dalam hidup Che Yah apabila mengetahui dia perlu menjaga anak saudaranya, Lola yang bermasalah.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 6:45am
d