rap

Nora nikah bersempena Sayyidul Ayyam

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 48, sah bergelar isteri kepada Rushdi Ramli yang juga sahabat baik kepada Allahyarham suaminya, Johan Nawawi dalam satu majlis pernikahan malam tadi.

Nora dalam satu kenyataan berkata, dia tidak berniat untuk tidak menghebahkan perkahwinan keduanya ini, sebaliknya sekadar melaksanakan perkara wajib mengikut tuntutan agama saja.

"Saya berpegang kepada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Bukan kerana ingin bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari publisiti.

"Sempena malam Jumaat yang juga Sayyidul Ayyam, saya dengan rendah diri dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan sudah bertemu jodoh dengan hamba Allah yang juga sahabat baik arwah Johan sejak kecil lagi.

"Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang sudah ditentukan. Saya menerimanya dengan penuh sabar, reda dan syukur. Hanya kebaikan yang saya harapkan. Saya juga memohon supaya semua insan yang saya kenali dan peminat untuk mendoakan saya mendapat keluarga sakinah mawaddah warahmah, dipermudahkan urusan, diberkati, diredai Allah SWT dunia dan akhirat. Insya-Allah," katanya.

Nora turut berterima kasih kepada anak-anak dan menantunya serta semua pihak yang mendoakan kebaikan buat dirinya.

Katanya, selepas melalui pelbagai fasa ujian dalam kehidupannya, mereka sekeluarga kini mahu mengecapi bahagia dan mahukan kehidupan berkeluarga yang lengkap.

Sebelum ini Nora pernah digosip sudah melangsungkan pernikahan dengan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, namun Nora tampil menafikannya.

Nora berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. Pada 13 Disember 2019 pula Nora diduga dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 8:51am
d