rap

Upin & Ipin tewaskan animasi Korea Selatan, AS

Kuala Lumpur: Siri animasi terkenal, Upin & Ipin mengekalkan kemenangan pada Anugerah Penyiaran Ramah Anak (APRA) 2021 menerusi kategori Program Animasi Asing yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 27 November lalu.

APRA 2021 adalah majlis anugerah anjuran Komisi Penyiaran Indonesia (KPI) yang memberi pengiktirafan kepada program televisyen negara jiran.

Pengarah Kandungan Kreatif Les'Copaque Production Sdn Bhd, Nur Naquyah Burhanuddin berkata, kemenangan Upin & Ipin buat kali dua berturut-turut itu menewaskan program animasi dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) adalah satu pencapaian yang mengujakan 

"Ini membuktikan Upin & Ipin berjaya memartabatkan animasi tempatan ke peringkat antarabangsa. Jadi, tekaan sesetengah pihak yang beranggapan Upin & Ipin hanya jaguh kampung meleset sama sekali.

"Upin & Ipin sudah sampai ke Indonesia dan berjaya membawa pulang trofi, mengalahkan animasi dari Korea Selatan, AS dan lain-lain negara. Bukan sekali, tetapi dua kali berturut-turut. Jadi, benarlah Upin & Ipin adalah siri animasi kesayangan Indonesia," katanya.

Menurut Naquyah, siri Upin & Ipin yang ditayangkan menerusi stesen MNCTV sejak 2010 adalah program animasi paling digemari.

"Ia dimainkan selama lima jam dalam sehari di stesen MNCTV dan memperoleh jumlah tontonan sangat tinggi.

"Tidak hanya itu, Upin & Ipin ditayangkan menerusi platform Disney+ Hotstar, animasi ini menduduki tangga kedua dalam kelompok animasi. Ia sekali gus membuktikan Upin & Ipin adalah siri animasi ditonton ramai," katanya.

Tambah  Naquyah, Upin & Ipin akan tampil dengan musim ke-16, tahun hadapan.

"Setiap tahun kami akan menghasilkan 42 episod untuk setiap musim. Namun, tiada perancangan buat filem Upin & Ipin, sebaliknya kami ke arah menghasilkan filem Puteri dan Dongeng Sang Kancil," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 5:08pm
d