rap

Buat 50 kali suntingan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BERBANDING dahulu, industri filem tanah air sekarang agak jarang menghidangkan filem bertemakan aksi kereta.

Sedangkan filem genre aksi permotoran yang dihasilkan oleh pembuat filem Hollywood sering mendapat tempat dihati peminat apabila ditayangkan.

Penerbit eksekutif dan pengarah bersama filem Marabahaya Underground, Cat Farish mengakui berbangga apabila dapat menghasilkan filem yang mula ditayangkan menerusi platform digital Astro First sejak 2 Disember lalu.

"Filem ini tampil dengan adegan aksi memukau dan dimantapkan dengan elemen komedi.

"Malah, kami turut membuat suntingan menggunakan teknik terkini bagi memastikan dapat menampilkan 'look and feel' yang segar.

"Filem ini juga menampilkan lebih 10 lagu hip hop yang baharu daripada artis 'underground' hip hop.

"Kami berharap kehadiran filem ini mampu memberi persepsi dan kepuasan baharu kepada penonton terhadap filem aksi kereta tempatan," katanya.

Menurutnya, penggambaran Marabahaya Underground dibuat pada 2019 dan sepatutnya ditayangkan di pawagam pada hujung 2019 atau awal 2020.

"Allah dah susun cantik apa yang berlaku. Dua tahun orang asyik buat cerita pasal filem hantu, tiba-tiba kami satu-satunya penerbit yang terbitkan cerita aksi.

"Saya sangat bersyukur, bukan kerana pandemik tapi sebab dengan adanya pandemik ini menolong kami untuk membaik pulih filem ini dengan sempurna apabila saya berpuas hati dengan hasilnya.

"Proses suntingan jalan cerita berlaku sebanyak 50 kali. Mulanya Helmi Yusof bertindak sebagai pengarah, tapi selepas itu dia ada komitmen lain dan saya terpaksa ambil alih kerana dah gunakan duit sendiri untuk filem ini," katanya mengenai filem yang menelan kos keseluruhan RM2 juta termasuk dana Finas untuk pembikinannya.

Cat berkata, ini pengalaman pertama dia mengarah filem selain mengolah semula cerita.

"Saya banyak belajar daripada Ahmad Idham yang dianggap guru saya. Selepas ini saya akan hasilkan cerita permotoran dan hip hop lagi. Ini apa yang saya mahukan.

"Saya banyak babitkan penyanyi dalam filem saya kerana melihat pada karakter mereka.

"Berkenaan tayangan di Astro First, saya tiada pilihan dan kena juga siarkan. Saya tak boleh tunggu tayangan di pawagam kerana tak boleh tunggu lama sangat," katanya.

Filem berdurasi 90 minit ini menggandingkan pelakon popular tanah air, Hazama dan Joey Daud sebagai teraju utama.

Watak antagonis pula dilakonkan oleh pelakon filem Olabola iaitu Jian Wein dan penyanyi rap tanah air yang semakin meningkat naik, MK K-Clique.

Watak lain yang turut menghiasi filem terbitan produksi D'edge Communication ini ialah Jasmin Suraya, Santesh Kumar, Dayana Roza, Scha Elinnea dan Amzarul.

Tidak ketinggalan Marabahaya Underground turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Wahid Senario, Hamdan Senario, Amir Raja Lawak, Zalif Sidek serta pelumba supercar negara, Zen Low; pelumba negara, Keifli Othman; drifter, Jian Hui Wong dan pelumba rali, Faizal Alang.

Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 6:44am
d