rap

Remy Ishak lebih free', relaks dan terbuka sejak kahwin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon popular Remy Ishak, 39, mengakui kehidupan berumah tangga membuatkan dirinya lebih relaks (tenang) dan terbuka dalam banyak perkara.

Ia termasuk beberapa video bersama isteri tercinta, Ezza Yusoff sebelum ini menarik perhatian netizen yang disifatkan 'sweet' dan romantis.

Malah, ada beranggapan karakter Remy itu jauh berbeza ketika dia masih bujang.

"Ya ka lain, bagi saya sama saja. Cuma sekarang lebih 'free', relaks dan terbuka. Mungkin sebab faktor umur juga. Kadang bila sampai satu tahap umur rasa lebih matang, akan berasa semua perkara senang dan boleh urus.

"Macam dulu masa masih baru dalam dunia hiburan dan baru lagi dengan persekitaran kehidupan yang selalu diberi perhatian, banyak perkara kena jaga. 

Dari segi sikap, betulkah langkah ini, perlukah begini?

"Tapi, apa yang  dilalui ini bukan sebab saya kahwin, tapi lebih kepada umur dan kematangan diri. Sudah sampai satu masa kita tahu langkah kita betul dan lebih tenang," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Remy berkongsi perkara itu ketika hadir pada sesi temu bual bersama radio Buletin FM bagi filem Sangkar bersempa penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) pada 10 Disember ini.

Dalam masa sama, Remy yang berkahwin pada 21 Ogos lalu mengakui perlu bekerja lebih keras.

"Sekarang ini kerja kena lebih sebab dah tanggung orang. Dulu seorang diri, tapi sekarang sudah ada komitmen.

"Alhamdulillah, kami masih lagi berdua dan okey saja," katanya.

Berkongsi mengenai pencalonan filem Sangkar arahan Khabir Bhatia pada FFM31 ini, Remy berkata dia amat bersyukur.

"Alhamdulillah, banyak juga filem yang bagus ditayangkan pada tahun sama. Jadi dengan adanya Sangkar dan terpilih, ia satu penghormatan. Sebab pembikinan Sangkar juga sangat mencabar.

"Tapi, saya berasakan semua terbabit dan tercalon bukan calang-calang. Ini festival filem kan dan terima kasih kepada juri dan yang sudah menonton filem Sangkar," katanya.

Selain Remy, filem Sangkar turut dibintangi oleh Zul Ariffin dan Mira Filzah.

 

 

Disiarkan pada: December 7, 2021 @ 4:14pm
d