rap

Elyana seperti tak percaya boleh pulih dari kanser

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Ya betul, ini adalah satu keajaiban yang memang saya tunggu-tunggu selama ini. Saya selalu berdoa sangat-sangat supaya Allah memberi keajaiban."

Demikian kata penyanyi Elyana, 36, yang dimaklumkan sudah bebas dan pulih daripada kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak 11 tahun lalu, hari ini.

Elyana ketika dihubungi berkata, kalau ikutkan dari segi penyakit dihidapinya itu memang sudah kronik dan sukar untuk pulih. Malah, dia bagaikan sudah tiada harapan untuk sembuh.

"Memang tak ada harapan dan saya sendiri pernah rasa putus harapan kira-kira empat atau lima tahun dulu.

"Saya hidap kanser yang tak baik-baik ini, saya pernah putus harapan dan sediakan diri. Walau apa sekalipun kena bersedia jika penyakit ini memang tak sembuh. Namun, saya selalu minta doa pada Allah agar panjangkan umur untuk teman anak sampailah ada orang lain boleh jaga sebagaimana saya beri kasih sayang kepada mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Kalis Rindu ini, sehingga sekarang dia sebenarnya masih belum percaya dengan berita dimaklumkan doktor mengenai dirinya yang sudah bebas dan pulih dari kanser.

"Ini keajaiban yang saya masih tak percaya. Ini kerana selama ini saya hanya membayangkan dan berangan-angan saja macam mana suatu hari nanti doktor panggil dan tunjuk dah tak ada kanser di dalam badan saya. Perkara ini yang saya selalu angankan. Seronoknya kalau macam itu, macam ini. "Kadang-kadang bila dapat tahu ada orang lain sembuh dari kanser, saya jadi sedih dan cemburu. Saya persoalkan kenapa bukan aku, kenapa dia? Saya lagi lama hidap kanser. Perkara-perkara remeh itu yang saya tiba-tiba persoalkan," katanya.

Elyana berkata, dia sangat berterima kasih kepada semua yang mengenali rapat dirinya dan buat yang tidak kenal juga kerana sudah mendoakan kesihatannya.

"Bukan saja keluarga, tapi mereka semua iaitu rakyat Malaysia ini yang sangat prihatin. Saya berterima kasih sangat-sangat kerana ini bab-bab kebaikan yang kita kena pandang dan ambil peduli sebab bukan senang nak minta orang doakan kita. Saya amat berterima kasih dan berharap doa yang baik-baik ini akan berbalik kepada mereka semua," katanya.

Elyana yang dibenarkan pulang ke rumah hari ini dari hospital berkata, dia masih memerlukan rawatan susulan seperti menyudahkan enam kali lagi sesi kemoterapi untuk memastikan sel-sel akar kanser di dalam badannya betul-betul mati dan dia pulih sepenuhnya.

Terdahulu, Elyana berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Instagram awal pagi, hari ini buat semua pengikutnya dan peminat yang tidak putus memberi semangat selama ini.

Disiarkan pada: December 8, 2021 @ 6:43pm
d