rap

Azaria Tagaya, suami takkan adakan majlis resepsi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Personaliti TV3, Azaria Tagaya, 36, dan suaminya, Reza Syafiq Zainal Rashid, 32, yang melangsungkan pernikahan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu masih kekal dengan pendirian tidak mahu melakukan sebarang majlis resepsi.

Azaria berkata, walaupun penganjuran majlis perkahwinan sudah dibenarkan kerajaan, mereka sudah merancang dari awal tidak mahu mengadakan majlis terbabit.

"Kebetulan kami berkahwin sebelum ini ketika PKP di mana tidak dibenarkan mengadakan sebarang majlis termasuk kenduri kahwin. Tapi kalau kahwin semasa bukan PKP pun, kami memang rancang tak nak buat majlis sebab kami berdua nak yang ringkas dan buat yang wajib sahaja.

"Usia perkahwinan kami pun dah lebih dua bulan, masing-masing sibuk dengan kerja di mana suami pun baru nak mula penggambaran semula. Jadual saya pun sibuk sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesibukan mereka juga membuatkan mereka belum berfikir mengenai cahaya mata.

"Bulan madu pun kami belum pergi kerana belum sempat nak bercuti berdua. Lokasi bulan madu pun belum ada. Sekarang suami sedang menjalani penggambaran di Langkawi. Dia berada di sana selama sebulan. Jadi saya ingat kalau ada masa nanti saya nak pergi sekejap berjumpanya bila dapat cuti. Namun untuk berbulan madu betul-betul memang tak rancang lagi.

"Sekarang bila ada masa terluang kami 'enjoy' berdua sahaja. Kami akan pergi 'dating' makan-makan atau pergi minum kopi berdua. Selain itu kami juga menjaga dua ekor kucing kami," katanya.

Pasangan ini melangsungkan pernikahan di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada 15 September lalu. Azaria berdarah campuran Jepun di sebelah bapa dan ibunya keturunan Pakistan, manakala Reza yang bekerja sebagai jurumekap kesan khas untuk filem berketurunan Pakistan dan Cina.

Disiarkan pada: December 8, 2021 @ 7:47pm
d