rap

Geran, Suatu Ketika dan Headhunter menang Anugerah Khas Juri FFM31

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Tiga filem iaitu Suatu Ketika, Geran dan Headhunter masing-masing dipilih memenangi Anugerah Khas Juri dalam pengumuman awal Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam ini.

Filem Suatu Ketika terbitan Kash Pictures Sdn.Bhd dipilih memenangi Anugerah Khas Juri 1, manakala Geran terbitan Layar Pictures Sdn Bhd pula untuk Anugerah Khas Juri 2, manakala Headhunter terbitan Indera Asahan Sdn Bhd untuk Anugerah Khas Juri 3.

Anugerah Filem Box Office dimenangi oleh filem Ejen Ali The Movie terbitan bersama Primeworks Studios Sdn Bhd dan Wau Animation Sdn Bhd.

Ia turut meraih Anugerah Penataan Bunyi Terbaik oleh Fadhli Abu Shafian, Hakim Kamal dan Shafiq Isa. Anugerah Poster Terbaik dimenangi Christopher Chua menerusi filem Walk With Me.

Anugerah Kesan Khas Visual Terbaik dimenangi VHQ Post (M) Sdn Bhd menerusi filem The Garden Of Evening Mists.

Anugerah Tatarias Terbaik pula diungguli Ella Sandera menerusi filem Sangkar manakala Anugerah Rekaan Busana Terbaik milik Tengku Syahmi menerusi filem Roh.

Selain itu, Anugerah Skor Muzik Asal Terbaik berpihak kepada Reinchez Ng menerusi filem Roh.

Filem Sangkar turut meraih Anugerah Penataan Seni Terbaik menerusi Nazrul Asraff Mahzan.

Pemenang setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM5000 berserta trofi.

Disiarkan pada: December 10, 2021 @ 9:42pm
d