rap

Roh Filem Terbaik FFM31, turut ungguli lima kategori

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Filem genre seram, Roh arahan Emir Ezwan diumumkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi.

Filem terbitan Kuman Pictures itu turut unggul dengan membawa pulang lima lagi trofi FFM31 iaitu Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Junainah M Lojong, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Putri Qaseh Iswandy), Lakon Layar Terbaik (Emir Ezwan), Rekaan Busana Terbaik (Tengku Syahmi) dan Skor Muzik Asal Terbaik (Reinchez Ng).

Kejayaan ini menyaksikan penerbitnya membawa pulang trofi serta hadiah utama Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000.

Bersaing hebat dengan Roh ialah filem Sangkar yang meraih lima kategori iaitu Pengarah Terbaik menerusi Khabir Bhatia, Pelakon Lelaki Terbaik (Zul Ariffin), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Remy Ishak), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Asraff Mahzan) dan Tatarias Terbaik (Ella Sandera).

Trofi anugerah Filem Terbaik disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang turut merasmikan malam kemuncak festival terbabit.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Muhammad Mentek; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.

Kejutan turut berlaku apabila Sinje Lee diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem The Garden Of Evening Mists, manakala Zul Ariffin seperti dijangka muncul pemenang Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Sangkar.

Bertemakan Citra Sinema, FFM31 menyaksikan 55 filem bertanding untuk merebut 38 kategori termasuk tiga anugerah khas. Sebanyak 28 anugerah disampaikan pada malam ini.

Malam kemuncak FFM31 diacarakan Awal Ashaari dan Sharifah Shahirah serta disiarkan secara langsung menerusi TV2.

Ia turut diserikan dengan persembahan daripada Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor, Liza Hanim, Datuk Syafinaz Selamat, Karot Anugerah Sepanjang Zaman daripada Sabri Yunus, Issey, Muss dan Ella.

Senarai penuh pemenang FFM31

• Filem Terbaik: Roh

• Pengarah Terbaik: Khabir Bhatia (Sangkar)

• Pelakon Lelaki Terbaik: Zul Ariffin (Sangkar)

• Pelakon Wanita Terbaik: Sinje Lee (The Garden Of Evening Mists)

• Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Remy Ishak (Sangkar)

• Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Junainah M Lojong (Roh)

• Pengarah Harapan: Zahir Omar (Fly By Night)

• Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Putri Qaseh Iswandy (Roh)

• Pelakon Wanita Harapan: Fify Azmi (Wira)

• Pelakon Lelaki Harapan: Anding Indrawani (Headhunter)

• Anugerah Khas Juri 1: Suatu Ketika (Kash Pictures Sdn Bhd)

• Anugerah Khas Juri 2: Geran (Layar Pictures Sdn Bhd)

• Anugerah Khas Juri 3: Headhunter (Indera Asahan Sdn Bhd)

• Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman: Fauziah Nawi

• Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Datuk Seri Dr Ahmad Nawab

• Filem Box Office: Ejen Ali The Movie (Primeworks Studios Sdn Bhd & Wau Animation Sdn Bhd) dengan kutipan melebihi RM30 juta.

• Lakon Layar Terbaik: Emir Ezwan (Roh)

• Sinematografi Terbaik: Low Soon Keong (Fly By Night)

• Cerita Asal Terbaik: Tan Twan Eng (The Garden Of Evening Mists)

• Rekaan Busana Terbaik: Tengku Syahmi (Roh)

• Penataan Bunyi Terbaik: Fadhli Abu Shafian, Hakim Kamal, Shafiq Isa (Ejen Ali The Movie)

• Penataan Seni Terbaik: Nazrul Asraff Mahzan (Sangkar)

• Tatarias Terbaik: Ella Sandera (Sangkar)

• Kesan Khas Visual Terbaik: Vhq Post (M) Sdn Bhd (The Garden Of Evening Mists)

• Penyunting Terbaik: Heng Yin Chau (Fly By Night)

• Skor Muzik Asal Terbaik: Reinchez Ng (Roh)

• Poster Terbaik: Christopher Chua Eng Hui (Walk With Me)

• Lagu Tema Terbaik: Ayuhlah (Suatu Ketika)

Disiarkan pada: December 11, 2021 @ 12:50am
d