rap

Nam Ron bangga dengan isteri, dah jangka Roh menang Filem Terbaik

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon Nam Ron bangga dengan pencapaian diraih isterinya, Junainah M Lojong apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi.

Nam Ron berkata, dia juga sama sekali tidak menjangkakan lakonan isterinya dalam filem Roh itu menarik perhatian juri.

"Saya bangga dengan pencapaian isteri apabila dia menang. Ini kemenangan kedua dia dalam FFM. Kali pertama pada FFM29 menerusi kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik. Saya bangga dengan usaha keras ditunjukkan.

"Apabila namanya diumumkan Top 5, sebenarnya saya tak ada apa-apa jangkaan pun. Dia naik atas pentas pun dia tak bersedia apa apa," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Nam Ron yang juga pelakon filem Roh mengakui meletakkan harapan tinggi filem itu menang kategori Filem Terbaik.

"Cuma kami berasakan filem Roh ini akan menang dan dapat rasa menang sebagai Filem Terbaik. Jadi kami datang malam ini untuk berikan sokongan.

"Apabila diumumkan menang, memang jangka. Firasat saya berdasarkan pencapaian filem ini yang mana sebelum ini ia dihantar mewakili Malaysia ke Oscars. Jadi peluang untuk menang malam ini lebih dari 50 peratus," katanya.

Pada FFM31, Nam Ron turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik tetapi tewas kepada Zul Ariffin.

Disiarkan pada: December 11, 2021 @ 12:53am
d