rap

Seronok rakam lagu sesuai jiwa

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

EMPAT anak muda iaitu Muhammad Furqan Fawwas Salleh Sani, 23, Matin Muzzamil Mohd Ya'acob, 25, Ahmad Naufal Azrin, 22, dan Abdul Basit Zulkipli, 26, yang menamakan gabungan mereka Zayne, pantas mencuri perhatian peminat menerusi single pertama berjudul Rindu pada tahun lalu.

Selain menghasilkan single Rindu, kumpulan yang dianggotai graduan Universiti Al-Azhar, Mesir, Maahad Tahfiz dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini turut muncul dengan beberapa lagu rakaman semula atau 'cover version' bersama artis tempatan lain.

Kini, selepas hampir setahun mendiamkan diri akibat pandemik Covid-19, Zayne tampil dengan single kedua berjudul Kaulah Cinta ciptaan Shaqiel Naufal, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.

Ketua kumpulan, Furqan berkata, berbeza dari single Rindu yang agak perlahan dan sentimental, Kaulah Cinta sebaliknya bergenre pop yang berentak rancak dan segar.

"Alhamdulillah berbekalkan kesabaran yang tinggi, kami akhirnya berjaya juga melancarkan single kedua ini buat peminat.

"Kami rasa bersyukur dan sangat bertuah apabila kali ini diberi peluang berkolaborasi dengan label produksi arus perdana World Peace Entertainment yang dinaungi artis terkenal seperti Naim Daniel dan Ismail Izzani sebelum ini.

"Lagu yang diterbitkan bersama Inteam Digital dan World Peace amat sesuai dengan cita rasa kami," katanya menerusi sidang media secara virtual.

Menurut Naufal pula, proses rakaman lagu baharu itu hanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam dan ia sesuatu yang menyeronokkan mereka.

"Ia mungkin kerana lagu ini sesuai dengan jiwa muda kami, sekali gus memudahkan kami menghayati lagu yang sarat dengan mesej ini.

"Lirik Kaulah Cinta walaupun sekali dengar seperti cinta sesama manusia, hakikat sebenarnya ialah menyentuh soal cinta teragung iaitu 'cinta kepada pencipta', Allah Maha Esa.

"Muzik video yang kami rakamkan di Hotel Mandarin Kuala Lumpur dan sekitarnya juga membawa mesej walau apa yang kita lakukan, mesti sentiasa melaksanakan kewajipan utama kepada Ilahi," katanya.

Sementara itu, berbicara mengenai konsep pakaian kumpulan Zayne, Naufal berkata, mereka lebih memilih kepada imej santai yang sesuai dengan usia dan selesa digayakan.

"Namun, yang lebih penting ialah pakaian ini mematuhi etika dan elok pada pandangan mata. Setakat ini kami tiada masalah dalam perkara berkenaan.

"Bagaimanapun, kami juga tidak kisah untuk mengenakan jubah mengikut pada kesesuaian majlis. Kami pernah tampil berjubah dalam beberapa acara sebelum ini.

"Kalau bercakap mengenai cerita peribadi pula, kalau boleh biar orang kenal kami menerusi karier sebagai penyanyi nasyid saja kerana matlamat kami ialah nak berdakwah," katanya.

Seakan-akan sinonim buat kumpulan nasyid apabila sering menjadi pilihan penganjur untuk ditampilkan sebagai 'moderator program' berbentuk keagamaan, anggota Zayne tidak menafikannya.

Bagi Basit, mereka juga sudi menerima pelawaan sebegitu (jadi moderator) sekiranya ada tawaran. Apatah lagi, mereka ada ilmu yang ditimba ketika belajar dulu yang boleh dikongsikan kepada masyarakat.

Single Kaulah Cinta yang sudah pun sebulan dilancarkan Zayne, kini berada di seluruh platform digital muzik seperti Youtube Inteam Digital, Spotify, Deezer, KKBox, Apple Music dan lain-lain.

Disiarkan pada: December 13, 2021 @ 6:41am
d