rap

Mei Fen dah dapat ijazah teater dari Aswara, puas usaha keras berhasil

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Lim Mei Fen, 34, akui bukan mudah pelajar berbangsa Cina sepertinya menghabiskan pengajian dalam bidang teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Lim Mei Fen atau Mei Fen berkata, kerja-kerasnya perlu berlipat ganda berbanding pelajar lain, namun dia langsung tidak menyesal dengan perjalanannya itu demi segulung ijazah.

"Saya masuk belajar di Aswara agak lewat pada usia 28 tahun. Persekitarannya memang cukup asing buat saya kerana institusi itu dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

"Terutama apabila menyiapkan tugasan, orang lain cuma ambil masa sejam untuk berbuat demikian tapi saya ambil masa hingga lima jam. Saya perlu kerja lebih keras untuk buat terjemahan dan mendalami setiap ayat demi siapkannya.

"Lagi pula, saya adalah pelajar bangsa Cina ketiga yang mengambil bidang itu di sana (Aswara) di mana rata-rata pelajar adalah Bumiputera. Memang ada tahap turun naik hingga rasa nak putus asa tapi bila imbas semula, saya tak menyesal walau seinci pun," katanya.

Pelakon filem Prebet Sapu itu berkata, semangatnya terus membara menjalani pengajiann di atas dorongan yang tidak putus-putus daripada rakan-rakan serta pensyarah di sana.

"Saya dikelilingi rakan-rakan Melayu dan pensyarah yang tidak pernah putus asa memberi dorongan. Meskipun saya seorang saja pelajar bangsa Cina, tiada sesaat pun rasa tersisih bahkan, seronok sangat setiap masa.

"Saya dapat menuai ilmu sebanyak mungkin dari sana sehingga terbuka peluang-peluang besar untuk berlakon dalam pasaran Melayu. Selepas saya belajar di sana, kini lebih ramai pelajar bangsa Cina masuk Aswara dan belajar bidang teater," katanya.

Mei Fen juga bersyukur dengan keputusannya itu kerana memungkinkan dia mendapat watak utama dalam filem Prebet Sapu. Bahkan, namanya kini semakin mendapat perhatian dalam industri filem arus perdana.

"Kalau bukan sebab belajar di Aswara, tak mungkin saya dapat berlakon dalam filem Prebet Sapu, berpeluang hadir ke Festival Filem Malaysia (FFM) dan dapat pendedahan dalam arus perdana seperti sekarang.

"Memang saya akui masih lagi menapak untuk kukuhkan nama, namun bersyukur sudah ada asas ilmu lakonan yang lebih meyakinkan. Saya sentiasa terbuka untuk terima tawaran daripada pihak produksi," katanya.

Pelakon itu akhirnya dapat menjalani konvokesyen rasmi baru-baru ini, meskipun tamat pengajian pada 2018. Menurutnya, upacara itu tertangguh kerana kekangan masa dia melunaskan tugasan akhir selain situasi pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Mei Fen juga kini sudah setahun menyambung pengajian dalam bidang sarjana di Beijing Film Academy di China dalam bidang Pengedaran dan Pemasaran Filem.

 

 

 

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 3:08pm
d