rap

Keluarga hartawan mencuit hati

FILEM: Spoiled Brats

PENGARAH: Nicolas Cuche

PENULIS SKRIP: Gary Alazraki, Nicolas Cuche dan Patricio Saiz

PELAKON: Gerard Jugnot, Camille Lou, Artus, Louka Meliava dan Tom Leeb

TERBITAN: Borsalino Productions, TF1 Studio dan TF1 Films Production

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

SATU filem yang baharu saja saya tonton di Netflix adalah filem berbahasa Perancis berjudul Pourris Gates atau dalam Bahasa Inggeris, Spoiled Brats.

Sejujurnya, ini bukan filem yang dinantikan oleh saya. Namun, ia adalah secara kebetulan saya tonton kerana melihat kewujudannya dalam senarai filem yang baharu dimasukkan dalam Netflix.

Secara ringkasnya, ia berkisar mengenai keluarga hartawan bernama Francis Bartek yang memiliki tiga anak iaitu Philippe Bartek, Stella Bartek dan Alexandre Bartek.

Dilahirkan dalam kehidupan serba mewah, ketiga-tiga mereka terlalu dimanjakan dengan kekayaan sehingga tidak mampu untuk hidup berdikari dan bekerja keras.

Setiap anak-anak dalam keluarga Bartek memiliki sikap masing-masing. Philippe sentiasa hadir dengan idea perniagaan yang tidak masuk akal, sekali gus sentiasa menghabiskan wang keluarganya untuk sesuatu yang tidak ada hasil.

Stella pula adalah gadis yang hidup umpama puteri raja dengan segala kemewahan serta sikap yang suka merendah-rendahkan orang lain yang lebih miskin.

Alexander pula hidup sebagai lelaki yang mata kerajang dan gemar berfoya-foya dengan wanita berusia.

Melihat kepada sikap anak-anaknya yang tidak bertanggungjawab dan tidak berdikari, Francis membuat keputusan untuk mengenakan mereka dengan caranya yang tersendiri.

Dia membuat satu rancangan kononnya dikejar pihak berkuasa kerana berlaku jenayah dalam syarikatnya, sekali gus mereka sekeluarga perlu lari dari rumah agam dan hidup secara bersembunyi.

Dari situ, Francis meminta setiap anak-anaknya untuk mencari kerja dan mencari wang sendiri bagi meneruskan kehidupan mereka.

Philippe bekerja sebagai pengayuh beca, Stella pula bekerja sebagai pelayan restoran manakala Alexander sebenarnya memiliki bakat dan skil bertukang.

Dari situ, dia melihat perubahan setiap anak-anaknya dan mula gembira. Namun, ada satu konflik yang melanda keluarga mereka, sekali gus menimbulkan perbalahan.

Dari segi jalan cerita, ia begitu jelas dan terang. Tidak perlu untuk penonton banyak berfikir saat menonton filem ini kerana ia sangat 'straight forward'.

Ada juga beberapa babak yang sudah dapat dijangka dan 'klise'. Namun, itu tidak merosakkan jalan cerita filem ini.

Ada juga beberapa babak yang kelihatan tidak realistik dalam kehidupan anak orang kaya, namun itu yang menjadi elemen mencuit hati dalam filem ini.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 6:35am
d