rap

'Saya tenang, sihat dalam penjara' - Isma Halil

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Kenyataan itu dikeluarkan untuk beritahu peminat yang tertanya-tanya ke mana saya menghilang. 

   "Saya jelaskan yang saya sebenarnya berada di Penjara Sungai Buloh dan dalam keadaan sihat," kata penyampai radio dan pengasas Bapakku FM, Isma Halil Hamzah, 48, mengulas berkenaan nota ringkas dari sebalik tirai besi yang dimuat naik oleh peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain di Facebook pada 1 Disember lalu.

   Kisah itu menjadi tular pada kalangan warganet sekali gus menjawab persoalan kehilangan Isma Halil yang sudah empat bulan tidak ke udara di siaran radio internetnya.

   Ditanya mengenai perjalanan operasi warung makanan dan konti Bapakku.FM yang terletak di Kampung Subang, Selangor, Isma Halil berkata, dia sudah menyerahkan semula kepada pemiliknya.

   "Saya sangat terkesan semasa pandemik Covid-19 dan memulangkan semula kepada pemiliknya kerana tidak mampu lagi nak menanggung kos. 

   "Saya nak fokus pada 'dive center' di Kampung Mukut di PulauTioman. Radio Bapakku FM kena 'freeze' dulu kerana tiada sesiapa yang boleh kendalikan.

   "Sementara itu, kelab yang lama saya tubuhkan iaitu Kelab My Friend kini mewujudkan radio sendiri iaitu MyFriend.FM. Saya harap peminat dapat sokong radio ini," katanya yang ditemui Harian Metro ketika dibawa keluar dari mahkamah selepas sebutan kesnya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

   Isma berkata, dia turut menulis sepucuk lagi surat untuk peminat yang diberikan kepada peguam bagi dimuatnaik di Facebook.

   "Syukur, saya berada di dalam keadaan sihat. Terima kasih kepada pihak penjara atas layanan baik yang diberikan kepada saya. 

   "Saya jalani kehidupan seperti biasa termasuk bekerja di sana," katanya.

   Sementara itu, menerusi suratnya, Isma Halil meminta maaf kepada semua peminat sekiranya pernah tidak memuaskan hati mereka.

   Paling mengharukan apabila dia meminta maaf kepada ibunya kerana tidak dapat menemani ketika waktu tua.

   Isma Halil turut sedih kerana tidak dapat lagi menziarah kubur bapanya setiap minggu seperti sebelum ini.

   Sementara itu, Mahkamah Majistret  hari ini menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes Isma Halil yang berdepan dengan pertuduhan mengedar dadah pada 27 Ogos lalu.

   Majistret Wong Chai Sia menetapkan tarikh itu selepas mendapati laporan kimia masih belum dapat disediakan oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 6:18pm
d