rap

'Tak popular lepas kahwin, ia rezeki Allah SWT'

Oleh Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Haqiem Rusli menepis tanggapan segelintir pihak yang menganggap berkahwin pada usia muda mengehadkan pelbagai perkara.

Pelantun lagu Mimpi itu menjelaskan, tidak menganggap rezeki dan populariti bergantung pada status kerana peminat masa kini sudah bijak menilai. 

"Kalau bercakap soal populariti, semuanya berbalik pada rezeki. Berkahwin pada usia muda semuanya ketentuan Allah SWT. Jika tertulis rezeki merudum selepas berkahwin, mungkin rezeki datang dari arah lain. 

"Jadi, saya tidak terkesan dengan isu kahwin muda boleh membuatkan populariti merudum. Di sebalik itu, saya tetap akan berusaha untuk kekal relevan. Insya-Allah, saya akan menghasilkan karya berkualiti kerana sebagai penyanyi, perlu mempunyai karya yang baik untuk terus mengekalkan kejayaan," katanya.

Haqiem yang mendirikan rumah tangga pada 19 November lalu mengakui, kehidupannya kini lebih sempurna dengan kehadiran Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19.

Haqiem turut menyokong rakan lain berkahwin pada usia muda sekiranya situasi mengizinkan.

"Tak perlu dengar mulut orang mengatakan habislah segala-galanya jika berkahwin muda.

"Sekiranya habis sekalipun, itu sudah pun ditulis. Janji sebagai manusia, kita buat perkara wajib dan gembira dengan apa yang dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2021 @ 6:27pm
d