rap

Nina Smith terpaksa tarik diri, bapa sakit teruk

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon baharu, Nina Smith menjelaskan keputusan menarik diri daripada drama Bunga Hati terbitan Zeel Production kerana keadaan kesihatan bapanya yang merosot akibat serangan strok.

Nina atau pemilik nama penuh, Amalina Smith, 22, berkata keputusannya dibuat untuk bertemu bapanya yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS). 

"Saya menarik diri kerana terpaksa membuat keputusan begitu selepas menerima panggilan daripada rakan bapa saya yang memaklumkan mengenai kesihatannya. Rakan bapa memaklumkan mengenai keadaan kesihatan bapa yang semakin merosot. Dia kini menetap di AS dan mengalami strok.

"Berita yang diterima membuatkan saya banyak berfikir sehingga tidak boleh tidur. Saya tidak mahu menyusahkan seluruh warga produksi seandainya tidak dapat melunaskan baki penggambaran. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menjenguk bapa yang kini berada di AS tak tahu lagi bila akan pulang ke Malaysia," katanya.

Terdahulu, Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai Ogy menegur tindakan Nina yang menarik diri dari penggambaran yang sedang dijalankan di Perlis.

Difahamkan Nina sempat menyiapkan penggambaran sebanyak enam babak.

Menurut Ogy yang turut terbabit dalam penggambaran berkenaan, tindakan Nina itu telah menyusahkan ramai pihak dan menyebabkan banyak babak terpaksa dilakukan semula.

Nina mengakui keputusan yang diambil memberi impak terhadap kerjaya seninya yang baru saja bermula, namun dia akur dengan suratan dan ketentuan-Nya. 

Malah, dia juga turut bersedia dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang. 

"Saya sudah bersiap sedia dengan sebarang impak di atas keputusan yang ambil ini. Selepas ibu bapa bercerai, bapa saya pulang ke AS dan kali terakhir kami bertemu adalah empat tahun lalu. 

"Pandemik yang melanda negara menjadi antara penyebab saya tidak dapat berjumpa dengan bapa. Jadi apabila mendapat berita mengenai kesihatan bapa, sudah tentu saya ingin terus berjumpanya," katanya.

Nina memulakan langkah dalam industri seni selepas menyertai program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dan kemudian menimba ilmu menerusi bengkel yang dikendalikan oleh Ogy. 

Disiarkan pada: December 16, 2021 @ 6:28pm
d