rap

Tuah Abang Upin Ipin

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Jika sebelum ini, nama Hasif Upin lebih dikenali sebagai Abang Upin Ipin di TikTok, kini anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini melangkah lebih jauh dalam industri seni sebagai penyanyi.

Muncul dengan single sulung yang berjudul Janji Sampai Mati ciptaan Aizat Amdan dan Anas Amdan, Hasif atau nama sebenarnya Muhammad Hasif Sharuddin tidak pernah menyangka tuahnya adalah dalam bidang muzik.

"Syukur Alhamdulillah, selepas menyertai uji bakat The Audition yang dianjurkan oleh Armani Entertainment Group, saya menerima 'superstar pass' daripada pengarah tersohor Michael Ang dan terus diserap menjadi penyanyi.

"Pada awalnya, saya ke sana untuk pencarian bakat lakonan, tetapi apabila mereka mendengar saya menyanyi, terus saya ditawarkan kontrak sebagai penyanyi," katanya.

Memiliki lebih 2.6 juta pengikut di TikTok, Hasif juga menganggap platform itu sebagai pembuka jalan rezeki untuknya.

"Semuanya bermula dengan video parodi Upin Ipin yang saya hasilkan selepas sahur Ramadan pada tahun lalu dan tak menyangka ia akan menjadi viral," katanya.

Berkongsi mengenai lagu Janji Sampai Mati, Hasif berkata, ia mengisahkan mengenai cinta antara dua insan yang berterusan sehingga akhir hayat.

"Lagu Janji Sampai Mati berkisar mengenai kisah cinta antara dua jiwa, penantian penuh kesetiaan dan janji yang terpatri sehingga akhir hayat.

"Sejujurnya, saya tak tahu perasaan sebegitu kerana masih bujang dan saya juga hidup sebatang kara selepas pemergian ibu tercinta pada hujung Oktober lalu, manakala ayah pula sudah lama tiada," katanya.

Diberikan masa tiga hari untuk menjalani latihan kendiri, Hasif juga mendapat khidmat bantuan guru vokal, Sarah Ismail yang turut membantunya ketika proses rakaman.

"Saya diberikan masa selama tiga hari untuk membuat 'homework' bagi memahami dan mendalami maksud lagu itu.

"Sepanjang proses rakaman, guru vokal yang disediakan oleh pihak pengurusan iaitu Cikgu Sarah Ismail turut hadir di studio rakaman bagi memberi tunjuk ajar.

"Maklumlah saya penyanyi baharu, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Namun, saya berterima kasih kepada Armani Entertainment Group terutama Datuk KK Chua kerana memberikan saya peluang keemasan ini," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2021 @ 6:30am
d