rap

GV8, LCK3 diteruskan malam ini

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Dua program utama terbitan Astro dan TV3 yang bakal bersiaran secara langsung malam ini iaitu Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) dan Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) akan diteruskan seperti yang dijadualkan.  

Bagaimanapun konsert minggu kelima Gegar Vaganza yang bersiaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), jam 9 malam ini akan dinamakan Konsert Gegar Vaganza Kongsi Kasih.

Gegar Vaganza menerusi Yayasan Astro Kasih akan menghulurkan bantuan sebanyak RM80,000 keseluruhan merangkumi RM40,000 bagi disalur kepada Tabung Bantuan Bencana Negara melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MERCY Malaysia pula menerima RM40,000 untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terkesan akibat musibah melanda negara pada ketika ini. 

Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata, pihaknya berharap dengan bantuan kewangan yang diberikan itu dapat membantu setiap individu yang ditimpa musibah banjir. 

"Selain itu, pihak GV juga akan turut menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir yang akan diumumkan dengan lebih lanjut sewaktu konsert berlangsung malam ini. 

"Pada masa  sama, Astro juga turut melancarkan kempen pengumpulan dana sebagai usaha mengumpul sumbangan dan derma kilat bagi membantu mangsa banjir terjejas," katanya.

Salurkan bantuan prihatin anda untuk mangsa banjir Monsun Timur Laut melalui Tabung Bantuan Bencana Negara ke akaun Bank Muamalat 1601-0001138-71-4 atau melalui MERCY Malaysia Flood Relief ke akaun Maybank 5621-7950-4126 & CIMB 8000-7929-08.

Sementara itu, konsert LCK3 pula bakal menyaksikan persaingan di antara lima pasangan peserta pada peringkat separuh akhir tepat jam 9 malam ini di TV3. 

"Program Lagu Cinta Kita musim ketiga akan bersiaran pada malam ini seperti dijadualkan," kata wakil Media Prima. 

Disiarkan pada: December 19, 2021 @ 7:40pm
d