rap

Rumah Ezad Lazim kena banjir, barang dan kereta tak dapat diselamatkan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Ezad Lazim, 43, melahirkan perasaan terkilan apabila gagal menyelamatkan semua barangan di dalam rumahnya ketika kejadian banjir yang berlaku di kawasan kediaman di Kota Warisan, Sepang, Selangor semalam.

Ezad berkata, dia baharu pulang ke Kuala Lumpur selepas mengadakan persembahan di Kedah dan ketika tiba di ibu kota terus diberitahu tidak dibenarkan masuk ke kawasan perumahan itu yang sudah dipenuhi air.

"Semasa show di Kedah pun saya  tengok hujan tak berhenti. Mulanya saya tanya juga kumpulan aplikasi WhatsApp perumahan dan mereka kata air naik macam biasa.

 "Dalam perjalanan pulang, mereka maklumkan air semakin naik dan minta berjaga-jaga. Jalanraya pula banyak yang dah ditutup.

"Saya dan isteri sampai di Kuala Lumpur jam 9 malam. Namun, kami dimaklumkan tak boleh balik ke rumah dan pilih pulang ke rumah mentua di Seri Kembangan," katanya kepada Harian Metro.

Ezad berkata, dia mulanya memantau keadaan rumahnya menerusi kamera litar tertutup yang dipasang.

"Dari situ, saya nampak air semakin naik. Lama kelamaan kamera litar tertutup itu terpadam sendiri mungkin akibat bekalan elektrik terputus secara automatik.

 "Saya juga mendapat maklumat daripada jiran berkenaan kereta kami yang tenggelam. Memang terkilan kerana tak sempat selamatkan apa saja barang di dalam rumah berbanding jiran yang dapat selamatkan barang mereka naik ke tingkat atas.

"Paling tak puashati kerana tak dapat tengok apa yang terjadi di dalam rumah. Malah, jiran-jiran pula sudah dibawa berpindah ke tempat selamat oleh pihak bomba," katanya.

Ezad mengharapkan dapat mencari bot untuk pulang melihat keadaan rumahnya dalam masa terdekat ini, meskipun agak mustahil.

"Apapun, saya harap air akan surut perlahan-lahan dan kami dapat balik rumah untuk melihat situasi sebenar yang sudah berlaku," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2021 @ 7:53pm
d