rap

Finas siap sedia jadi PPS untuk mangsa banjir

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Mangsa banjir di sekitar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hulu Kelang boleh menggunakan Kompleks Studio Merdeka sebagai pusat penempatan sementara (PPS).

Ia diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang berkata, perkara ini sudah diputuskan sejak kelmarin.

Menurutnya, kemudahan di Studio Sound Stage, Dataran Karyawan dan Concourse Mixstage di Kompleks Studio Merdeka itu boleh menempatkan kira-kira 1,000 mangsa banjir.

"Selain itu, aset Finas seperti tiga kenderaan pacuan empat roda dan lima van siap siaga untuk digunakan dalam misi bantuan mangsa banjir," katanya.

Bagaimanapun, Md Nasir berkata, setakat ini belum ada mangsa banjir ditempatkan di kompleks berkenaan.

Menurutnya, selain menawarkan kemudahan di Studio Merdeka dan aset Finas, perbadanan juga memperuntukkan RM20,000 untuk bantuan kilat mangsa banjir.

"Derma kilat untuk Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan Kelab Suka Sosial Finas juga sudah dilancarkan.

"Selain itu, Rumah Prihatin juga bersetuju menyumbang bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir.

"Pihak Finas kini sedia menerima kemasukan mangsa banjir dari kawasan berdekatan berikutan hujan tanpa henti di Lembah Klang," katanya.

Md Nasir berkata, mereka juga sedia menempatkan mangsa banjir dari kawasan berdekatan termasuk penduduk Kampung Fajar yang terletak bersebelahan Kompleks Studio Merdeka yang selalu terjejas akibat banjir.

"Namun, setakat ini, kawasan penempatan itu masih terkawal dan kita juga sedia membantu anak seni yang terkesan dengan bencana banjir ini. Kita sedang mengenalpasti mereka.

"Finas juga sudah memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menghebahkan usaha perbadanan ini kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, empat kakitangan Finas juga menjadi mangsa banjir apabila rumah mereka ditenggelami air.

"Mereka diberi bantuan berupa bakul makanan dan kewangan," katanya.

Justeru, Finas membuka talian hotline 012-3155805 kepada mangsa banjir yang memerlukan bantuan perbadanan itu.

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 11:35am
d