rap

Pencapaian Shiha Zikir dalam kerjaya seni diiktiraf di Korea Selatan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Shiha Zikir, 34, terharu menang trofi Malaysia Model Star Award pada acara anugerah Asia Model Festival di Korea Selatan yang berlangsung semalam.

Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir berkata, awalnya dia menyangka tawaran itu cuma 'scam' dan hampir menolaknya kerana berasa diri tidak layak.

"Saya sebenarnya ragu-ragu pada awalnya apabila seorang kenalan putuskan untuk hantar nama saya kepada penganjur. Bukan apa, saya tak yakin dan fikir belum layak kerana saya pun bukan nama besar.

"Bagaimanapun, dua minggu lalu saya diberitahu memang dan akan dapat anugerah itu. Cuma, saya tak naklah bercerita dulu takut nanti akhirnya bukan dapat betul-betul pun.

"Apabila saya mendapat trofi itu dan diumumkan secara rasmi semalam, barulah berani nak kongsi. Saya memang tak sangka sangat kerana penganjur berkeras memang nak berikan anugerah itu kepada saya," katanya.

Penyanyi lagu AEWO terbabit juga cukup terharu kerana anugerah itu satu pengiktirafan besar. Baginya, ia sangat bermakna kerana dia diiktiraf menerusi karya seni sebaliknya pencapaian keseluruhan selaku anak seni.

"Memang anugerah ini sangat berbeza kerana sebelum ini menang pengiktirafan dari luar pun sebab lagu. Tapi kini, saya diiktiraf berdasarkan pencapaian sepanjang karier saya.

"Bahkan, penganjur juga turut meneliti segala perkembangan saya menerusi akaun media sosial dan nekad memberikan anugerah itu. Bagi saya semestinya ia cukup bermakna kerana kerja-keras terpapar dan diakui mereka," katanya.

Meskipun ralat kerana tidak dapat menghadiri acara fizikal anugerah itu, Shiha bagaimanapun cukup teruja apabila mendapat tawaran dari penganjur untuk menjayakan projek di Korea Selatan pada masa hadapan.

"Ia bukan terhenti setakat menang anugerah itu saja. Saya masih berhubung dengan pihak penganjur mengenai potensi berkunjung dan jayakan projek di sana kelak.

"Memang saya sangat teruja kerana merasakan sebelah kaki sudah melangkah ke negara itu. Semestinya, saya akan merebut setiap peluang yang datang dari sana untuk kembangkan karier saya," katanya.

 

 

 

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 1:48pm
d