rap

Isteri Ayie Floor 88 hamil

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Floor 88, Ayie Elham berkongsi berita gembira mengenai kehamilan isterinya, Tasha Awie.

Ayie, 24, ketika dihubungi berkata, dia mendapat tahu keputusan ujian kehamilan isterinya sebulan yang lalu.

"Saya dapat tahu sebulan lalu, tapi baru hari ini kami bersedia kongsikan di media sosial. Sewaktu isteri saya memaklumkan mengenai kehamilannya, kami berada di Melaka kerana ada urusan kerja.

"Pada awalnya, dia beritahu saya ada rasa mual-mual. Saya bergurau dengan dia, entah-entah ada bayi. Tapi, dia beritahu saya dia dah buat ujian dan belum ada rezeki.

"Bila saya sedang menjalani penggambaran di Melaka, dia sembunyi-sembunyi membuat ujian kehamilan sekali lagi. Alhamdulillah, keputusannya positif," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai persediaannya, Ayie berkata, dia dan isteri tidak terlalu janggal untuk menguruskan bayi memandangkan dia adalah anak sulung dalam keluarga.

"Saya anak sulung dalam keluarga dan isteri saya anak kedua. Jadi, kami masing-masing sudah biasa menguruskan adik-adik kami. Insya-Allah, tidaklah terlalu janggal.

"Bezanya, sekarang kami akan menjadi ibu bapa dalam usia yang masih muda. Jadi, tanggungjawabnya lebih berbeza," katanya.

Ayie juga memuat naik video reaksi keluarga dan sahabat handainya di saluran YouTube AETA Channel, hari ini.

Ayie dan Tasha berkahwin pada 21 Oktober lalu selepas mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 8:34pm
d