rap

Pencapaian baharu Rosyam

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Lain padang, lain belalang.

Itulah peribahasa yang dapat menggambarkan pengalaman pelakon, Datuk Rosyam Nor ketika bekerja dan membintangi filem aksi Hong Kong berjudul G Storm yang bakal ditayangkan pada 31 Disember ini.

Jika sebelum ini, Rosyam pernah bekerjasama dengan produksi filem dari India untuk filem Kabali, kali ini cara kerjanya berbeza dan menambah satu lagi pengalaman dalam kamus karier seninya.

"Di sana, cara bekerja berbeza daripada bekerja dengan produksi tempatan. Untuk babak-babak aksi disediakan pelakon lagak ngeri yang memang akan mengambil alih setiap babak aksi.

"Dia akan melakukan dan saya sebagai pelakon hanya akan masuk untuk berlakon saja. Apa saja babak aksi yang memerlukan aksi lasak, dia yang akan buat," katanya.

Berkongsi lanjut pengalamannya berlakon dalam filem yang turut dibintangi Louis Koo itu, Rosyam berkata, tempoh bekerja pada setiap hari juga sudah ditetapkan.

"Di sana, waktu bekerja setiap hari hanya lapan jam. Tak lebih, tak kurang. Kalau kita mula awal atau lambat, lapan jam saja ditetapkan untuk kita bekerja," katanya.

Rosyam berkata, dia turut dilayan seperti bintang ketika menjalani penggambaran filem itu di Hong Kong pada penghujung 2019.

"Seperti yang semua sedia maklum, perbelanjaan untuk pembikinan filem di Hong Kong memang mahal. Jadi, saya disediakan pemandu khas, pembantu peribadi dan memang semua pelakon dilayan seperti bintang.

"Kalau di Malaysia, selalunya kalau kita terlalu membawa diri sebagai bintang, orang akan kritik. Tapi, di sana, memang semua pelakon perlu membawa diri dan menunjukkan bahawa mereka adalah bintang filem," katanya.

Bercerita mengenai proses penggambaran filem G Storm arahan David Lam itu, Rosyam berkata, ada beberapa babak yang tidak sempat diselesaikan kerana penularan Covid-19.

"Sepanjang penggambaran, saya memang berulang alik dari Malaysia ke Hong Kong. Pada awalnya, pihak produksi merancang untuk menjalani penggambaran di Malaysia dan Hong Kong. Namun, kerana pandemik Covid-19, banyak rancangan yang tak dapat direalisasikan.

"Kali terakhir saya ke sana adalah pada Januari tahun lalu. Ada beberapa babak yang tak sempat diselesaikan dan sebagai pelakon, saya agak kecewa juga. Jadi, saya juga menantikan bagaimana mereka akan selesaikan babak-babak itu," katanya.

Berkongsi mengenai wataknya sebagai King, Rosyam memegang peranan antagonis sebagai ketua penjenayah yang terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

"Dalam filem Hong Kong, penjahat bukan macam dalam filem tempatan. Dia tak perlu pun buat kerja-kerja 'kotor' kerana ada ramai anak buah di bawahnya yang akan menjalankan kerja-kerja itu. King adalah 'mastermind' dan mengawal semua kerja-kerja anak buahnya," katanya.

Yang pasti, ini akan menjadi satu lagi pencapaian buat Rosyam dalam kerjayanya sebagai pelakon.

"Sebelum ini, dalam filem Kabali banyak babak saya dibuang dan orang cakap, saya pelakon tempelan. Masalahnya bukanlah itu dan bagi saya yang penting, saya dapat peluang untuk berlakon dalam filem antarabangsa," katanya.

G Storm adalah filem sekuel kepada filem P Storm yang pernah ditayangkan pada 2019.

Disiarkan pada: December 24, 2021 @ 8:01am
d