rap

Kutipan awal filem dokumenteri Siti Nurhaliza disalur buat mangsa banjir

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Kutipan awal filem dokumentari Siti : Are You Ready? yang bakal ditayangkan di saluran Astro First bermula 30 Disember ini akan disalurkan kepada mereka yang terjejas dengan banjir.

Siti berkata, dia bersama Penerbit Eksekutif, Shiraz Project tetap prihatin dengan situasi semasa.

"Ini adalah buah tangan penghujung 2021 oleh Shiraz Project dan Siti Nurhaliza Productions. Saya juga ingin berkongsi bahawa kutipan awal langganan di Astro First akan kami sumbangkan untuk bantuan banjir.

"Siapa yang menonton kombo filem dokumentari dan konsert ini nanti, secara tidak langsung turut menyumbang bantuan banjir," katanya ketika ditemui pada malam gala filem dokumentari itu baru-baru ini.

Filem dokumentari yang diarahkan M Azhar Rot dan Anz Izwan itu menampilkan detik di atas dan belakang pentas, persembahan langsung serta cerita di sebalik tabir sepanjang Konsert 'Dato' Sri Siti Nurhaliza on Tour' di tiga negara iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia pada 2018.

Mengulas lanjut mengenai filem dokumentari berdurasi 80 minit itu, Siti berkata, ia adalah ringkasan dirinya sebagai seorang penyanyi, ibu dan juga isteri.

"Semua yang terakam adalah cerita benar, situasi sebenar dan disunting menjadi satu jam 20 minit walaupun perjalanan dan usaha kami hampir setengah tahun atau enam bulan.

"Kalau mahu diikutkan, banyak detik yang mahu kita kongsi, tapi dari 72 jam, ia ditapis menjadi 80 minit. Saya melihat ini antara detik yang paling istimewa yang saya abadikan. Saya sudah buat sesuatu dengan penuh kasih sayang dan cinta terhadap seni dan yang penting saya disokong oleh insan-insan hebat di dalam hidup saya, yang membuatkan saya dapat menjayakan konsert 'Dato' Sri Siti Nurhaliza on Tour' ini.

"Filem dokumentari ini juga untuk ditunjukkan pada masyarakat bahawa penyanyi bukannya sekadar menghiburkan tapi lebih daripada itu. Saya nak sangat masyarakat di luar sana lihat filem dokumentari saya sebagai satu yang memberikan inspirasi bukan saja pada anak-anak seni generasi muda tapi juga kepada wanita yang bergelar ibu," katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2021 @ 12:21pm
d