rap

Michelle Yeoh di Taman Sri Muda

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Siapa sangka bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh turut turun padang membantu mangsa banjir dengan menyertai kerja-kerja pembersihan di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

Kehadiran pelakon antarabangsa itu yang turut menyalurkan bantuan buat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda 2 menarik perhatian ramai pihak.

Dalam hantaran pengguna Instagram @jameswastaken_5529 menyaksikan Michelle tiba dengan helikopter yang mendarat di perkarangan sekolah itu.

"Ia sesuatu yang luar biasa melihat ramai sukarelawan yang turun padang untuk membantu. Lebih mengejutkan adalah apabila selebriti seperti Michelle Yeoh turut serta menyalurkan bantuan. Selamat hari Krismas!" tulis pengguna Instagram itu.

Pengguna Instagram itu juga turut berkongsi foto kenangan bersama Michelle dan sukarelawan yang terbabit.

Di Instagram Story, akaun Instagram sama turut memuat naik beberapa foto kemunculan Michelle.

Michelle yang juga pelakon filem Shang-chi and The Legends of the Ten Rings dan Crazy Rich Asian itu hadir bersama tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan.

Disiarkan pada: December 25, 2021 @ 8:40pm
d