rap

Roslan Shah, warga Singapura kumpul RM15,000 bantu mangsa banjir

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Singapura, Roslan Shah berjaya mengumpul wang sumbangan berjumlah RM15,000 daripada warga Singapura selepas mengadakan sesi siaran langsung di Facebook untuk disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat bencana banjir, baru-baru ini.

Roslan ketika dihubungi berkata, dia membuat sesi siaran langsung itu pada Khamis lalu dan bersyukur kerana mendapat reaksi memberangsangkan daripada warga Singapura. 

Katanya, sebahagian sumbangan diberikan kepada seorang individu di Klang, Selangor.

"Ada individu di Klang yang memaklumkan kepada saya bahawa rumahnya menunggu masa untuk runtuh kerana hujan tempoh hari. Jadi, saya salurkan bantuan kewangan kepadanya. Selain itu, sejumlah RM5,000 lagi saya akan serahkan kepada lima pemilik rumah yang lain untuk membantu mereka membeli barangan keperluan," katanya.

Usaha ini akan diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan dan terkesan akibat banjir.

 

Disiarkan pada: December 28, 2021 @ 4:09pm
d